Berita Utama

10,000 banduan layak jalani pelepasan secara perintah parol

Jangka 80 peratus daripada mereka ditempatkan dalam industri, isi kekosongan tenaga kerja

BANGI, 19 Syaaban 1443H, Selasa – Kira-kira 10,000 banduan layak menjalani program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan Program Reintegrasi Penghuni dalam usaha tangani masalah kesesakan banduan di penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah alternatif yang bakal dilaksanakan ini menjangkakan 80 peratus daripada mereka akan ditempatkan dalam industri.

Langkah ini diyakini dapat mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing sebelum ini.

Ia juga dilihat mampu menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta setahun.

“Kementerian amat yakin sasaran ini akan dapat dicapai berdasarkan kepada pencapaian melebihi 7,000 banduan menjalani Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pada 2021.

“Melalui peluang yang diberikan di dalam komuniti, didapati 99.63 peratus daripada mereka berjaya dan tidak lagi mengulangi kesilapan serta kembali semula ke penjara,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Hamzah bagaimanapun menegaskan, kementerian tetap komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat
terus diutamakan.

Kerajaan juga, tegasnya, akan terus meningkatkan keupayaan sumber manusia Jabatan Penjara bagi memastikan sistem penyampaian dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Sebanyak 347 pegawai dan anggota penjara perjawatan baharu telah diluluskan bagi meningkatkan keupayaan jabatan dalam melaksanakan PDK,” katanya.

Pada masa sama, Jabatan Penjara juga akan memperluaskan Pejabat Parol Daerah kepada 100, berbanding 52 pada masa ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button