Berita UtamaDunia

Jepun keluar amaran kekurangan bekalan elektrik

Kerajaan minta rakyat kurangkan penggunaan elektrik

TOKYO, 19 Syaaban 1443H, Selasa – Buat pertama kali, kerajaan Jepun mengeluarkan amaran kekurangan bekalan elektrik susulan gempa bumi minggu lepas yang menyebabkan beberapa loji kuasa ditutup.

Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun mengeluarkan amaran untuk kawasan yang elektriknya dibekalkan oleh Tokyo Electric (Tepco) dan Tohoku Electric Power Co.

Amaran itu dikeluarkan berikutan salji turun hari ini di Tokyo dengan suhu diramalkan memuncak pada hanya 4 darjah Celsius (39.2 darjah Fahrenheit), berbanding suhu tinggi 14 darjah Celsius pada hari Isnin.

Susulan itu, syarikat pembekal elektrik menjangkakan lonjakan permintaan bagi memenuhi keperluan pemanasan ketika suhu menurun.

Situasi itu turut membuatkan kerajaan meminta rakyat mengurangkan penggunaan elektrik mereka.

“Kami meminta kerjasama anda untuk menjimatkan tenaga elektrik sebanyak mungkin,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno pada sidang akhbar.

Katanya, permintaan untuk penjimatan elektrik tidak akan dilanjutkan esok memandangkan terdapat jangkaan kenaikan suhu dan penambahan lebih banyak penjanaan tenaga suria apabila cuaca bertambah baik.

Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda timur laut Jepun pada Rabu lalu memusnahkan peralatan dan memaksa enam loji kuasa haba di kawasan yang diselenggara oleh Tepco (9501.T) dan Tohoku Electric (9506.T) ditutup.

Sebelum ini, Menteri Perindustrian, Koichi Hagiuda memberitahu Parlimen bahawa beberapa loji itu mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk kembali beroperasi- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Back to top button