Berita UtamaDunia

4,000 unit CCTV dipasang sekitar KL pantau lokasi banjir

DBKL akan ambil tindakan segera bersihkan segala halangan dalam longkang ketika banjir

BANGI, 19 Syaaban 1443H, Selasa – Sebanyak 4,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) siap dipasang di sekitar Kuala Lumpur bagi tujuan memantau lokasi-lokasi banjir supaya bantuan awal dapat disegerakan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sentiasa dalam keadaan bersiap sedia memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi perubahan iklim yang semakin ekstrem.

Katanya, tiga pendekatan utama digunakan bagi memastikan isu banjir dan tanah runtuh di Kuala Lumpur dapat diatasi dengan berkesan adalah menerusi tindakan serta merta, jangka pendek dan jangka panjang.

“DBKL akan mengambil tindakan segera dalam membersihkan segala halangan dan saluran dalam longkang tepi jalan ketika banjir serta pengurusan trafik akan terus diselenggara oleh DBKL dengan bantuan agensi lain,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Beliau berkata, DBKL turut membuat pemantauan melalui CCTV yang dipasang sekitar Kuala Lumpur melalui Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC) bagi memantau dan mengenal pasti lokasi-lokasi yang terlibat dengan banjir.

“Sehingga Jun akan datang, akan siap dipasang lagi 1,000 unit CCTV tambahan dan ia akan diletakkan di kawasan ‘hotspot’ mudah banjir,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button