Berita Utama

Angkara adegan panas, pelakon Zul Ariffin disiasat

Menteri ingatkan pelakon supaya jaga nilai dan budaya

BANGI, 19 Syaaban 1443H, Selasa – Pelakon kontroversi, Zul Ariffin akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 berikutan adegan ‘panas’ lakonannya yang menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses undang-undang sedang dijalankan ke atas pelakon tersebut berkaitan adegan kontroversi yang mengundang kemarahan orang ramai.

“Pelakon Zul Ariffin akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta KMM kerana memuat naik adegan berkenaan di Instagram yang menyalahi undang-undang.

“Yang pasti adegan seperti yang dipaparkan itu tidak akan dibenarkan ditayang sama ada bulan Ramadan atau bulan yang lain,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter, hari ini.

Beliau dalam masa sama turut menasihatkan supaya semua pelakon serta penghasil karya seni filem dan drama supaya menjaga nilai dan budaya.

Pelakon Zul Ariffin sebelum ini memuat naik klip drama bersiri ‘Perempuan Itu’ di Instagram yang dianggap keterlaluan hingga dikecam netizen.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memanggil produksi drama Perempuan Itu termasuk Zul Ariffin serta Siti Hariesa berkait adegan ‘panas’ yang bercanggah dengan tuntutan agama dan budaya hidup masyarakat di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih lanjut.

Sementara itu, Zul pula tampil memohon maaf dan berjanji akan lebih berhati-hati untuk memuat naik kandungan di media sosial bagi mengelakkan kontroversi berulang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button