Berita Utama

Jangan jadikan usaha martabat bahasa Melayu sekadar retorik

Pinda Akta DBP mampu kurangkan isu abai bahasa kebangsaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 19 Syaaban 1443H, Selasa – Usaha memartabatkan bahasa Melayu bukanlah suatu yang pelik kerana pelaksanaan itu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkannya sebagai bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi serta peranannya.

Apatah lagi, ia dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996).

Atas dasar itu, Wanita BERJASA Johor mengalu-alukan usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu dan menjadikan bahasa kebangsaan itu sebagai bahasa ilmu sehingga ke persada antarabangsa.

Mendasari sejarah ketamadunan yang cemerlang, Ketua Wanita BERJASA Johor, Azizah Che Awang berkata, bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan menjadi sendi dalam kehidupan sosial sebahagian besar masyarakat Nusantara.

Bahkan, bahasa Melayu adalah salah satu bahasa utama dunia dengan bilangan penutur melebihi 300 juta orang tersebar di seluruh pelusuk dunia, katanya.

“Namun, usaha ini perlu bermula dari alam persekolahan lagi supaya semangat ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ ini dapat berakar umbi dalam diri setiap masyarakat Malaysia terutama di sekolah-sekolah vernakular, sekolah swasta dan antarabangsa.

“Meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Kerajaan perlu sedar, di dalam usaha kuatkuasakan bahasa Melayu di peringkat IPT dan mewajibkan pelajar asing menguasai BM, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang belum mampu bertutur bahasa kebangsaan dengan fasih,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan kerajaan untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu termasuk di peringkat daerah.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Akta DBP yang ada ketika ini tidak memberi kuasa kepada agensi kerajaan itu untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa.

Mengulas perkara itu, Azizah menyifatkan tindakan proaktif DBP adalah wajar kerana Pindaan Akta DBP 1959 penting supaya mana-mana pelanggaran bahasa Melayu boleh diambil tindakan.

Katanya, penguatkuasaan akta atau undang-undang adalah salah satu faktor mengurangkan isu pengabaian bahasa kebangsaan, namun malang apabila wujud ‘sikap acuh tak acuh’ kerajaan akhirnya penguatkuasaan dengan sendirinya menjadi lemah.

“Justeru Wanita BERJASA Johor meminta kerajaan agar bersikap tegas dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bukan sekadar retorik apatah lagi apologetik.

“Kerajaan mesti sedar akan kuasa rakyat walaupun dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, kemenangan masih berpihak kepada kerajaan sedia ada,” katanya.

Pautan terdahulu;

Akta DBP dipinda untuk perkasa bahasa Melayu: PM

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button