Berita Utama

Mufti P. Pinang minta isu laungan azan tidak dipanjangkan

Bimbang ada pihak ambil kesempatan demi kepentingan politik

BANGI, 13 Zulhijjah 1444H, Ahad – Mufti Pulau Pinang menegaskan insiden membabitkan laungan azan di masjid kawasan Sungai Puyu, Butterworth tidak sewajarnya berlaku sekiranya semua pihak mematuhi keputusan yang dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, keputusan yang dibuat sejak 2010 lagi telah melarang penggunaan pembesar suara luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah.

“Saya difahamkan pihak masjid Sungai Puyu telah terlupa menutup pembesar luar sewaktu mendirikan solat Subuh dan ketika kuliah disampaikan selepas itu.

“Diharap kekecohan ini tidak dipanjangkan dan disensasi sebaliknya boleh diselesaikan dengan baik dan saling bertolak ansur antara semua pihak terbabit,” katanya.

Sebelum ini, tular satu klip video di media sosial menunjukkan satu sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman tersebut.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila pihak JMB mengutarakan isu pembesar suara di surau kondominium berkenaan.

Pihak JMB kondominium telah melarang pihak surau berkenaan menggunakan dua pembesar suara bersaiz besar di luar surau untuk kegunaan azan sebaliknya menggunakan pembesar suara bersaiz kecil di dalam surau sahaja.

Perkara itu menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa penduduk kondominium yang menyifatkan larangan itu sebagai mengganggu keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Bagaimanapun, perkara itu telah selesai apabila pihak JMB kondominium berkenaan telah memohon maaf secara terbuka berhubung isu terbabit.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, beliau bimbang sekiranya ada pihak tertentu sengaja menimbulkan semula isu tersebut untuk meraih kepentingan politik murahan.

“Suka saya menasihati semua pihak di negeri ini sama ada masyarakat Islam atau bukan Islam supaya tidak mudah terperangkap di dalam sentimen perkauman dan agama sehingga mengeruhkan keharmonian dalam hubungan sesama masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan, keamanan perlu diutamakan daripada memperoleh kepentingan politik yang sementara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button