Berita UtamaPendapat

Hijrah Nabi bina umat yang unggul, beragenda

Kejatuhan empayar, kekhalifahan Islam berpunca dari trend yang hampir serupa iaitu kerakusan rebut kuasa

APABILA kita berbicara tentang hijrah, kita biasanya melihatnya dari skop individu iaitu penghijrahan dari sesuatu yang buruk atau kurang baik kepada yang lebih baik dan diredhai Allah. Konsepnya ialah keluarnya dari belenggu jahiliyyah kepada keredhaan Allah.

Namun, kita sering kali terlepas pandang tentang perlunya sudut pandang yang lebih luas mengenai penghayatan konsep hijrah iaitu keluarga, masyarakat, negara dan dunia kerana Islam itu meliputi segala aspek.

Bertitik tolak dengan hijrahlah, nabi membina negara Islam yang unggul yang bertahan bergenerasi dan dengan empayar yang besar. Malah, zaman kegemilangan dunia Islam berlaku jauh selepas kewafatan nabi.

Semua ini dicapai bukan semudah dengan mendapat kuasa politik dan memerintah begitu sahaja. Tetapi dengan penanaman agenda yang jelas kepada seluruh umat Islam dengan apa yang dituntut oleh Islam.

Luasnya pengaruh empayar Islam ketika itu, sampai ke Kepulauan Melayu di mana hebatnya empayar-empayar Melayu ketika itu apabila mereka menganut dan membawa risalah Islam.

Namun, kegemilangan dunia Islam itu musnah begitu sahaja sehinggakan generasi kini tidak dapat bayangkan bagaimana Islam pernah menjadi kuasa utama dunia yang mengatur pelbagai percaturan sistem dunia suatu ketika dahulu. Sampai ada dari kalangan yang mengaku membawa Islam sendiri sudah tidak izzah dengan sejarah lampau kita dahulu.

Kejatuhan empayar-empayar dan kekhalifahan Islam berpunca dari trend yang hampir serupa, iaitu kerakusan perebutan kuasa, korupsi dan persekongkolan dengan musuh.
Pastinya, semua ini berpunca kerana hilangnya agenda dan hala tuju umat. Dan para pemimpin adalah cerminan kepada rakyatnya.

Walaubagaimanapun, apa yang berlaku sekarang jauh lebih kompleks dari apa yang berlaku dahulu lebih-lebih lagi kita hidup dalam sistem yang berbeza. Pastinya, sejarah lampau bukan hanya untuk dikagumi atau diratapi semata-mata tetapi untuk menjadi pengajaran agar kita tidak mengulanginya lagi. Jauh sekali untuk dilupakan begitu sahaja.

Oleh itu, sempena Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, saya mengajak agar kita semua berpadu dengan agenda-agenda bersama yang menguntungkan agama, bangsa dan tanah air kita. Ayuh kita tanya diri kita sendiri, apa sebenarnya agenda kita sebagai satu umat ini?

Apa yang kita mahukan untuk ekonomi umat kita?
Apa yang kita mahukan untuk politik umat kita?
Apa yang kita mahukan untuk arus pemikiran umat kita?

Fikir-fikirkan.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
1 Muharram 1443H

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button