Berita Utama

Pengundi 18 tahun kurang terdedah maklumat politik sukarkan buat pilihan bertanggungjawab

‘Orang muda hari ini cepat bosan, pemimpin politik perlu giat sebar senario terkini melalui media sosial’

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Syaaban 1443H, Selasa – Golongan muda yang berusia 18 tahun ke atas perlu didedahkan informasi mengenai senario politik negara bagi memberikan penjelasan yang lebih tepat selain sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali melihat keperluan menyalurkan maklumat yang tepat perlu dimulakan segera khusus kepada golongan yang akan terlibat dalam Undi18 dalam PRU15 depan.

“Mereka sebenarnya terlalu muda dan baharu tamat persekolahan tetapi terpaksa mengundi dalam keadaan ini menyebabkan mereka tidak berminat lagipun maklumat sebenar tidak didedahkan.

“Buktinya di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor peratusan golongan itu terlalu rendah berikutan mereka tiada informasi dan tiada pendedahan sebenar dalam dunia politik.

“Saya yakin sekiranya mereka diberikan maklumat yang tepat mereka boleh membuat penilaian sekali gus menjadi pengundi yang bertanggungjawab,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyertaan golongan muda iaitu pengundi berumur 18 tahun yang secara automotik didaftarkan dalam PRU15 akan datang.

Mengulas lanjut, Dr Mazlan berkata, pemimpin parti perlu bergerak aktif daripada sekarang memulakan penyebaran maklumat yang sebenar dengan cara bersesuaian.

“Orang muda hari ini cepat bosan, jadi penyebaran maklumat juga perlu diselarikan dengan keadaan terkini seperti melalui media sosial yang boleh hidangkan mereka secara mudah dan jelas.

“Tidak perlu lagi diberikan maklumat panjang seperti bahan sejarah yang perlu mereka baca, ini yang menjadikan mereka langsung tidak berminat,” katanya.

Ditanya mengenai samada orang muda mudah terpikat apabila dihidangkan dengan pelbagai imbuhan dan bantuan-bantuan tertentu bagi menarik sokongan ke arah sesebuah parti, Dr Mazlan menjelaskan, tidak mustahil ada yang terpengaruh.

Namun, katanya, tidak semua generasi muda hari ini cepat termakan gula-gula memandangkan mereka juga boleh mengetahui perkara sebenar dengan cepat dan mudah.

“Tidak nafi ada yang mudah terpengaruh tetapi saya yakin orang muda hari ini semakin bijak dan boleh membuat penilaian yang bijak,” katanya.

PRN Johor merupakan pilihan raya pertama yang melaksanakan pendaftaran automatik bagi pengundi berusia 18 tahun, berlaku pertambahan 173,177 pengundi muda antara 18 dan 20 tahun di negeri itu.

Mereka mewakili 6.67 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,597,742 pengundi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button