Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Terengganu perluas Kempen Tiada Beg Plastik ke bazar Ramadan

Laksana fasa kedua bermula tahun ini sehingga 2025

KUALA TERENGGANU, 19 Syaaban 1443H, Selasa – Pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik dan Pemberian Penyedut Minuman Atas Permintaan Peringkat Negeri Terengganu yang kini memasuki fasa kedua akan diperluaskan ke bazar Ramadan di seluruh negeri, tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melalui kempen tersebut sebanyak 63 bazar Ramadan melibatkan 5,342 peniaga yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri disarankan beralih kepada plastik yang mudah terurai (biodegradasi) dan mesra alam.

“Pengunjung dan pembeli juga disaran agar membawa beg atau bekas makanan sendiri daripada rumah bagi meminimumkan penggunaan plastik sekali guna,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen Tiada Beg Plastik Dan Pemberian Penyedut Minuman Atas Permintaan Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, fasa pertama kempen tersebut yang bermula 2018 hingga 2021 telah dilaksanakan pada setiap Jumaat dan Sabtu di premis kekal seperti pasar raya besar, pasar raya serbaneka dan restoran makanan segera.

Fasa kedua pula akan bermula tahun ini sehingga 2025 dan skop pelaksanaannya diperluaskan ke premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam dan pasar tani, katanya.

“Semua premis yang terlibat dalam pelaksanaan kempen ini perlu menyediakan alternatif lain seperti menggantikan penggunaan beg plastik dengan beg yang boleh diguna berulang kali seperti ‘woven bag’, dan hanya menyediakan penyedut minuman berdasarkan permintaan atau hanya memberikan penyedut minuman yang lebih mesra alam.

Untuk rekod, Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 pada 2020 telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik dan Pemberian Penyedut Minuman Atas Permintaan, dan pelaksanaan kempen tersebut diserahkan kepada kerajaan negeri dengan menggunakan kaedah pelaksanaan mengikut kesesuaian negeri masing-masing.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, fasa kedua kempen tersebut hanya akan tertumpu pada kaedah menasihati dan menggalakkan peniaga tidak menggunakan plastik sekali guna.

“Tetapi apabila satu masa nanti sekiranya kita tengok kempen ini tidak ‘jalan’ kemungkinan kita akan adakan peraturan yang kita akan masukkan dalam (syarat) lesen premis perniagaan nanti yang mereka tidak boleh gunakan plastik sekali guna yang mana tindakan undang-undang seperti denda boleh dikenakan,” katanya.

Dr Alias juga berkata, peniaga bazar Ramadan tahun ini dibolehkan untuk mengenakan cas tambahan yang bersesuaian terhadap pembeli sekiranya mereka menggunakan plastik yang mudah terurai (biodegradasi) bagi menampung kos pembelian plastik mesra alam itu.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button