Berita Utama

Punca 24,941 calon tak duduki SPM 2021 akan dikenal pasti

18,497 adalah calon persendirian, bakinya dari sekolah kerajaan

PUTRAJAYA, 16 Zulkaedah 1443H, Khamis – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan ‘post-mortem’ bagi mengenal pasti punca sejumlah 24,941 calon berdaftar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 tetapi tidak menduduki peperiksaan itu, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Daripada jumlah itu, katanya calon SPM persendirian yang tidak menduduki peperiksaan tersebut adalah seramai 18,497 orang, manakala bakinya calon dari sekolah kerajaan.

“Kita (KPM) sedang menganalisis data dan akan meneliti trend tahun-tahun sebelum ini. Jika ada peningkatan, kita akan ambil pendekatan untuk elak berulang di masa akan datang.

“Punca perlu dikenal pasti memandangkan kohort SPM 2021 adalah paling terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 18 (1) di sini sempena pengumuman keputusan SPM hari ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dalam sidang media mengenai keputusan SPM 2021 hari ini berkata, terdapat 24,941 calon SPM 2021 tidak menduduki peperiksaan itu daripada 407,097 calon yang berdaftar.

Ditanya faktor yang mendorong seseorang pelajar tidak menduduki SPM, Radzi berkata, ada antara pelajar terbabit menghadapi masalah peribadi, masalah keluarga dan masalah kewangan.

Radzi berkata, pihaknya sentiasa mendekati pelajar dan keluarga yang dikenal pasti mempunyai masalah sehingga menyebabkan pembelajaran terganggu dan tidak dapat meneruskan pengajian atau tidak menduduki peperiksaan khususnya SPM.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button