Berita Utama

Pemilik, pengunjung pusat hiburan di ibu negara dikompaun RM45,000

43 pengunjung, 2 pemilik kelab malam diberi notis kompaun RM1,000

KUALA LUMPUR, 20 Syaaban 1443H, Rabu – Notis kompaun berjumlah RM45,000 dikeluarkan kepada pengunjung dan pemilik premis susulan serbuan di dua pusat hiburan di ibu negara.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kanan Datuk Azman Ayob berkata, 43 pengunjung dan dua pemilik kelab malam masing-masing diberikan notis kompaun RM1,000 dalam serbuan, lewat malam tadi.

“Hasil risikan mendapati kesemua pusat hiburan tersebut telah beroperasi dengan melakukan kesalahan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuatkuasakan ketika ini. 

“Sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan terhadap pengunjung di premis pertama manakala 31 kompaun telah dikeluarkan terhadap pengunjung di premis kedua yang bernilai RM 1,000 setiap satu

kompaun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, sebanyak dua kompaun turut dikeluarkan terhadap pemilik premis pusat hiburan berkenaan dengan nilai yang sama. 

Jumlah keseluruhan nilai kompaun yang telah dikeluarkan dalam serbuan ini adalah berjumlah RM 45,000.

Dalam pada itu, SAC Azman menasihati orang ramai supaya mematuhi SOP COVID-19 dan membantu mengurangkan penularan jangkitan wabak ini.

“Mereka yang mempunyai maklumat mengenai pelanggaran SOP khususnya melibatkan pusat hiburan boleh menghubungi polis melalui Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang boleh dimuat turun di telefon bimbit anda. 

“Kami menghargai kerjasama orang ramai berhubung perkara itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button