Berita UtamaDunia

Bekas PM Qatar beri amaran Barat hanya mahu eksploitasi kekayaan negara Teluk

Jangan rugi, muktamadkan segera perjanjian perdagangan bebas dengan Eropah

DOHA, 20 Syaaban 1443H, Rabu – Bekas Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Bin Jassim Al Thani, memberi amaran kepada negara-negara Teluk tentang eksploitasi Barat terhadap kekayaan mereka.

Malah, Barat juga tidak mengambil berat mengenai kepentingan rantau itu melainkan demi keuntungan mereka semata-mata.

“Barat melupakan negara-negara Teluk, tidak melayan mereka sebagai sama, atau atas dasar kepentingan bersama, dan tidak mengingati mereka kecuali apabila ia mempunyai keperluan mendesak.

“Barat, dan khususnya negara-negara Eropah, sangat memerlukan minyak dan tenaga, terutamanya dari rantau kita dan negara-negara Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) khususnya”, kata Sheikh Hamad di laman Twitter.

Beliau berkata, negara-negara Teluk telah cuba memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara Eropah dalam tempoh lebih 30 tahun tetapi perjanjian sedemikian tidak pernah ditandatangani kerana penangguhan Eropah.

Tegasnya, Barat cuma mahu meneruskan perdagangan dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk ‘tanpa rangka kerja undang-undang’.

Walhal, pemuktamadan perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara Eropah sepatutnya boleh mengurangkan beban yuran yang dikenakan oleh negara-negara Eropah ke atas eksport GCC, terutamanya minyak dan produk berkaitan yang seterusnya akan membantu ekonomi negara-negara Teluk.

“Orang Eropah kini sangat memerlukan sumber tenaga yang mengukuhkan kedudukan politik dan keselamatan mereka.

“Justeru, sebagai balasan, terdapat keperluan untuk memuktamadkan perjanjian ini secepat mungkin untuk mencapai kepentingan bersama, yang menjadi asas di mana transaksi antara negara didasarkan.

“Negara-negara Teluk perlu menyampaikan mesej kepada Barat, bahawa mereka tahu bahawa kita juga mempunyai kepentingan yang tidak boleh dirugikan dan harus dicapai atas dasar kepentingan bersama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button