Dunia

Britain mungkin laksana dos penggalak ke-5?

Sasar pemberian kepada individu berusia 50 tahun ke atas

LONDON, 20 Syaaban 1443H, Rabu – Program vaksinasi COVID-19 bagi dos penggalak sedang giat dilaksanakan di Britain, yang kini berada pada fasa pemberian suntikan dos keempat.

Suntikan keempat akan diberikan kepada semua individu berusia lebih 75 tahun, penghuni rumah jagaan dan pesakit yang mempunyai sistem imunisasi lemah mulai minggu ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid seolah-olah memberi bayangan bahawa dos tambahan akan diberikan kepada jutaan individu yang layak menjelang akhir tahun ini.

Ditanya sama ada pemberian dos penggalak kelima akan diberikan, Javid mendakwa ‘berkemungkinan’ langkah itu diambil kepada mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Namun katanya, keputusan itu masih belum dimuktamadkan.

Javid berkata, kerajaan akan mengikut nasihat Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) serta panel saintis berpengaruh sebelum memutuskan perkara berkenaan.

“Setakat ini nasihat terbaharu mereka adalah keperluan dos penggalak diberikan kepada lebih ramai individu menjelang akhir tahun ini. Tetapi kita menunggu nasihat lanjut itu,” katanya.

Bulan lalu, JCVI mencadangkan bahawa program vaksinasi harus meliputi semua individu berumur lebih 75 tahun, penghuni rumah jagaan dan mereka yang mempunyai imun lemah, membabitkan kira-kira lapan juta orang.

Kebelakangan ini, kebimbangan timbul ekoran peningkatan semasa kes kemasukan ke hospital yang dikatakan menjadi petanda awal penurunan imuniti daripada dos penggalak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button