Berita Utama

Hidupkan semula kursi Pengajian Bahasa Melayu di IPT luar negara: ATMA

Dalam memartabatkan kedudukan bahasa kebangsaan di mata dunia

KUALA LUMPUR, 20 Syaaban 1443H, Rabu – Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) mencadangkan agar Kursi Pengajian Bahasa Melayu di pusat pengajian tinggi luar negara yang pernah diwujudkan kerajaan diisi dan dihidupkan semula dalam memartabatkan lagi kedudukan bahasa kebangsaan di mata dunia.

Pengarahnya Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata antara yang dilihat kritikal termasuk kursi di 15 universiti di China yang menawarkan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu agar penyelarasan dapat dibuat dengan lebih baik dan teratur.

“Begitu juga dengan kursi pengajian Bahasa Melayu di Eropah dan Australia yang banyak menawarkan program Bahasa Melayu, ia perlu dihidupkan balik,” katanya ketika menjadi panel program Minda Profesor Negara siri ke-8 bertajuk Potensi Bahasa Melayu di Pentas Antarabangsa yang disiarkan di Facebook Majlis Profesor Negara malam ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka berkata ATMA juga diberi kepercayaan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadi urus setia bagi program pengembangan dan pengenalan Bahasa Melayu di institut pengajian tinggi (IPT) di negara-negara ASEAN.

“Mudah-mudahan kalau dapat terus jadi bahasa ASEAN memang itu kita perjuangkan sejak 80-an.

“Andai kata kita memerlukan waktu maka secara strategik kita mencadangkan agar Bahasa Melayu diterima dahulu sebagai bahasa rasmi ASEAN kedua dan lambat laun mudah-mudahan akan terbuka kesedaran negara ASEAN untuk terima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pertama,” katanya.

Jelasnya langkah itu sudah pasti boleh dicapai menerusi IPT dan menerusi kajian dijalankan pihaknya telah mengenal pasti hampir 20 universiti, misalnya di Thailand sendiri ada universiti yang mempunyai jabatan Bahasa Melayu seperti di Thaksin University.

Dalam pada itu, Awang berkata Malaysia juga mungkin boleh mengikuti langkah China yang mewujudkan banyak fakulti pengajian asing yang mampu berperanan sebagai jendela ilmu dalam usaha mempelajari lebih banyak tamadun dunia.

Memberi contoh di Universiti Pengajian Asing Beijing (BSFU), China, beliau berkata terdapat lebih 100 bahasa asing sedunia yang diperkenalkan, menunjukkan negara berkenaan faham peranan dan kekuatan bahasa asing.

“Akhirnya dengan itulah China berhasil menjadi kuasa ekonomi terbesar,” katanya.

Mengimbau kenangan sewaktu menjadi Profesor Penyandang Kursi Pengajian Melayu di BSFU, Awang berkata beliau sendiri pernah bertanyakan kepada Presiden universiti itu sebelum ini berhubung tujuan BSFU menawarkan sebegitu banyak pengajian asing.

Jelasnya, beliau menerima jawapan bahawa negara itu tidak berminat menjadi ‘polis dunia’, sebaliknya mahu mengembangkan sayap ekonomi, mengenal bangsa sedunia dengan lebih akrab melalui pengajian asing termasuk bahasa asing.

“Di Malaysia barangkali cukuplah fakulti pena asing kalau tidak semua barangkali di sebahagian besar universiti di negara kita, kerana proses penguasaan tamadun dalam konteks Islam pun digalakkan saling kenal-mengenal,” katanya.

Beliau berkata pewujudan jawatan ilmiah terhormat iaitu Kursi Pengajian Melayu di BSFU juga misalnya merupakan satu pengiktirafan besar kepada Bahasa Melayu, sekali gus memberi gambaran bahawa China sendiri memberi perhatian kepada bahasa berkenaan selain bahasa lain. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button