Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Kedah kerjasama dengan pihak berkuasa agama pujuk orang dewasa enggan vaksin

Majoriti tolak vaksin orang Melayu yang terpengaruh berita palsu di media sosial

ALOR STAR, 20 Syaaban 1443H, Rabu – Kerajaan negeri Kedah akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam untuk memujuk kira-kira 150,000 orang dewasa di negeri ini yang masih menolak vaksinasi COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini bahawa majoriti mereka yang masih belum mendapat vaksin itu adalah orang Melayu.

Dr Hayati (PAS-Tokai) berkata, Jabatan Kesihatan negeri telah menghubungi individu terbabit tetapi mereka menolak suntikan vaksin itu.

“Malangnya, kebanyakan mereka adalah orang Melayu dan kami percaya mereka menolak vaksinasi selepas terpengaruh dengan berita palsu yang disebarkan di media sosial,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Zamri Yusof (PKR-Suka Menanti).

Bagi menangani isu itu, Dr Hayati berkata, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri untuk memotivasikan individu terbabit bagi mendapatkan vaksin.

“Kami akan meneruskan kempen untuk memujuk mereka kerana kami tidak mempunyai undang-undang khusus untuk memaksa mereka mengambil vaksin.

“Selain itu, kami juga memujuk orang yang tidak divaksin yang dimasukkan ke hospital awam untuk mengambil vaksin,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Dr Hayati juga memberitahu dewan bahawa antara Januari hingga 12 Februari, terdapat 201 kes melibatkan varian yang mencetuskan kebimbangan dilaporkan di negeri ini.

Daripada jumlah itu, 14 adalah kes varian Beta, 149 kes Delta dan 38 kes Omicron.

Beliau berkata, lebih 95 peratus kes positif COVID-19 di Kedah diletakkan di bawah kuarantin di rumah kerana berada dalam Kategori 1 dan 2.

“Hanya mereka yang mempunyai komorbiditi atau wanita hamil yang dijangkiti virus itu dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) atau hospital COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button