Berita Utama

Remaja bawah 17 tahun diminta abaikan janji temu dos penggalak

Pasukan MySejahtera mohon maaf atas masalah teknikal

PUTRAJAYA, 20 Syaaban 1443H, Rabu – Individu berusia 17 tahun dan ke bawah yang menerima janji temu bagi dos penggalak diminta mengabaikan pautan itu dalam aplikasi MySejahtera.

Unit MySejahtera Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan, hari ini berkata, selain itu, individu yang sudah mendapatkan dos penggalak namun masih menerima pautan janji temu juga boleh mengabaikan janji temu yang diberikan.

“Sekiranya individu berkenaan sudah membuat janji temu dos penggalak untuk tanggungan mereka atau untuk dos keempat melalui pautan yang dihantar, sila batalkan janji temu berkenaan dan tidak perlu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“PPV juga sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan mereka akan menolak kehadiran remaja untuk dos penggalak dan juga individu yang hadir untuk dos penggalak kedua atau dos keempat.

“Pasukan teknikal MySejahtera sedang memperbetulkan perkara ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul daripada masalah teknikal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Unit MySejahtera memaklumkan, pautan janji temu itu diberikan secara automatik mengikut sela masa yang ditetapkan mengikut jenis vaksin.

“Memandangkan janji temu dalam sistem MySejahtera dihantar secara automatik, terdapat isu teknikal apabila sistem berkenaan yang menghantar pautan janji temu untuk dos penggalak kepada remaja, iaitu golongan berusia 17 tahun dan ke bawah.

“Adalah menjadi dasar KKM buat masa ini menyarankan dos penggalak hanya diberikan kepada individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas serta tiada dos penggalak kedua atau dos keempat diberikan kepada umum,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button