Berita Utama

Kes baharu COVID-19 meningkat 119 peratus minggu lepas

Kepada 19,137 kes berbanding 8,732 pada minggu sebelumnya

KUALA LUMPUR, 15 Syawal 1443H, Isnin – Bilangan kes baharu COVID-19 di negara ini bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-19 yang bermula dari 8 Mei hingga 14 Mei, meningkat sebanyak 119.2 peratus iaitu kepada 19,137 kes berbanding 8,732 kes pada minggu sebelumnya (ME ke-18).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menyaksikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 4,475,873 kes dengan 29,762 kes aktif.

Beliau berkata sejajar dengan peningkatan kes harian pada ME ke-19, purata kadar kebolehjangkitan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 70.2 peratus iaitu 0.97 berbanding 0.57 pada minggu sebelumnya.

“Bilangan kes sembuh pada ME ke-19 menurun sebanyak 59.2 peratus atau 30,930 kes kepada 12,618 kes berbanding ME ke-18 dan kumulatif individu pulih ialah 4,410,499.

“Kes kematian pada ME ke-19 menunujukkan sedikit peningkatan iaitu 3.1 peratus (32 kes kepada 33 kes) berbanding ME ke-18 dan menjadikan kumulatif kematian kini 35,612,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk juga meningkat 38 peratus untuk ME sama berbanding ME sebelumnya.

“Kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk juga meningkat sebanyak 100 peratus melibatkan semua kategori pesakit.

“Secara keseluruhan, peratusan penggunaan katil PKRC meningkat sebanyak 100 peratus, penggunaan katil bukan kritikal meningkat sebanyak 18 peratus manakala penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) menurun sebanyak 10 peratus,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button