Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Adakah gagal lanjut subseksyen 4(5) SOSMA dirancang?

Pelik bila ramai Ahli Parlimen penting dalam kerajaan tak hadir

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 21 Syaaban 1443H, Khamis – Adakah kegagalan meluluskan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat semalam perbuatan dirancang?

Persoalan itu ditimbulkan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya susulan ketiadaan Ahli-Ahli Parlimen penting dalam kerajaan ketika undi belah bahagian.

Keputusan itu menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju, dan seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Aminuddin berkata, sekiranya benar dirancang, maka perkara itu sangat memalukan kerajaan sekarang, yang seolah-olah tidak mendapat kehormatan serta disanjung.

“Perkara ini sangat pelik dan tidak pernah berlaku apabila kerajaan nak selesai sesuatu akta tetapi ahli-ahli Parlimen tak datang.

“Kalau seorang dua kita boleh faham tetapi ramai agak pelik, yang tak hadir itu pula adalah individu-individu penting seperti Presiden UMNO dan juga Ahli Parlimen Pekan.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku di belakang sana adakah ini tekanan kerajaan dan PN atau pun memang tidak disengajakan, sekiranya memang berlaku ia perkara yang sangat memalukan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) telah dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat, semalam.

Ketika menggulung usul itu, Hamzah berkata, peruntukan Subseksyen 4(5) Akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan, bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks.

“Tanpa subseksyen ini dilanjutkan, kualiti siasatan polis dikhuatiri akan terjejas kerana ia dibuat secara tergesa-gesa iaitu selama 24 jam sahaja untuk menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan, melengkapkan kertas siasatan dan seterusnya mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Haji Aminudin berkata, sekiranya keadaan berterusan kerajaan tiada pilihan, selain perlu membubarkan kerajaan.

Tambah beliau keadaan tersebut akan berterusan menyebabkan kerajaan tiada kredibiliti, sekali gus menjejaskan keadaan negara.

“Keadaan ini tidak mustahil akan berterusan dan menyebakan tiada kredibiliti dalam kerajaan.

“Ia juga boleh akan memberi kesan kepada keadaan ekonomi apabila pelabur-pelabur luar yang takut untuk ke negara sekali gus menjadikan ekonomi negara huru-hara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button