Berita Utama

Majlis Keselamatan PBB tolak draf resolusi Russia mengenai Ukraine

Hanya China memberi undi sokongan kepada draf resolusi itu

WASHINGTON, 21 Syaaban 1443H, Khamis – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menolak draf resolusi daripada Russia mengenai situasi kemanusiaan di Ukraine.

Hanya China memberi undi sokongan kepada draf resolusi itu, manakala 13 anggota dewan yang lain mengambil langkah berkecuali.

Draf resolusi itu menyebut “kebimbangan besar terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin merosot di Ukraine dan sekitarnya,” khususnya peningkatan jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan pelarian akibat konflik Ukraine.

Meskipun ia mengutuk “semua pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan pelanggaran hak asasi manusia,” teks itu tidak menyalahkan siapa yang bertanggungjawab bagi perang itu.

Bercakap menjelang pengundian, utusan AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield berkata draf itu adalah percubaan Russia “untuk melindungi kekejamannya” di Ukraine.

“Amat tidak wajar Rusia mengemukakan resolusi meminta masyarakat antarabangsa menyelesaikan krisis kemanusiaan yang dimulakannya,” katanya.

Vassily Nebenzia, wakil tetap Moscow, memberi isyarat awal bahawa resolusi Rusia berkemungkinan akan gagal sebelum pengundian berlangsung, dengan berkata “kami menolak premis yang majlis tidak berada dalam kedudukan untuk menerima pakai resolusi mengenai dokumen kemanusiaan Ukraine.”

Perang Russia-Ukraine, yang bermula pada 24 Februari, mendapat kecaman antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, AS dan UK antara lain mengenakan sekatan kewangan yang keras ke atas Moscow.

Sejak perang tercetus, sekurang-kurangnya 977 orang awam terbunuh dan 1,594 cedera, menurut anggaran PBB.

Lebih 3.6 juta orang melarikan diri dari Ukraine ke negara jiran, menurut agensi pelarian PBB. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button