Berita Utama

Penolakan usul lanjut tempoh SOSMA : PDRM guna pakai peruntukan lain

PDRM mengambil maklum dan menerima keputusan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 21 Syaaban 1443H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengguna pakai peruntukan lain bagi kes disiasat Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas 31 Julai ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata susulan penolakan usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen itu di Dewan Rakyat hari ini, PDRM akan menggunakan peruntukan di bawah mana-mana undang-undang sedang berkuat kuasa seperti Kanun Prosedur Jenayah untuk melaksana penahanan melalui proses reman di mahkamah.

Beliau berkata PDRM kekal komited bagi menjalankan siasatan sebaik mungkin dengan menggunakan akta sedia ada yang masih berkuat kuasa.

“PDRM mengambil maklum dan menerima keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac (Rabu) yang menolak usul Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa SOSMA selepas 31 Julai ini,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata dengan keputusan terbaru itu, PDRM tidak lagi memperuntukkan kuasa penahanan selama 28 hari ke atas individu yang ditahan bagi siasatan melibatkan kes-kes keselamatan bersifat kompleks seperti kesalahan di bawah Bab VI Kanun Keseksaan (kesalahan terhadap negara).

“Selain itu, kesalahan di bawah Bab VI A Kanun Keseksaan (kesalahan berkaitan keganasan); kesalahan di bawah Bab VI B Kanun Keseksaan (kesalahan jenayah terancang); kesalahan di bawah Bab III A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan Luar Negara 2015,” katanya.

Usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, tidak diluluskan Dewan Rakyat hari ini setelah melalui undi belah bahagian, yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button