Berita Utama

Sindiket penipuan sasar ahli politik, orang kenamaan

Godam media sosial, guna taktik penyamaran untuk pinjam wang

BANGI, 21 Syaaban 1443H, Khamis – Ahli politik, orang kenamaan dan pegawai tinggi kerajaan kini menjadi sasaran utama sindiket penipuan yang menggodam aplikasi media sosial seperti Telegram dan WhatsApp dengan menyamar sebagai kenalan untuk meminjam wang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, modus operandi mereka adalah meminta pertolongan untuk meminjam wang daripada senarai rakan yang terdapat di aplikasi terbabit.

“Sebanyak 1,710 laporan diterima pihaknya membabitkan kegiatan itu dengan kerugian RM 11.47 juta sejak 2020 sehingga Februari lalu.

“Daripada jumlah itu, 823 kes dilaporkan berlaku pada 2020 dengan kerugian RM6.19 juta diikuti 2021 iaitu 778 kes dengan nilai penipuan RM4.8 juta,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Beliau menegaskan, bagi tahun ini pula, sebanyak 109 kes dilaporkan dengan nilai kerugian RM478,016.

Katanya, sindiket ini didapati menggodam aplikasi berkenaan sebelum menghubungi mangsa secara rawak.

“Kebanyakan mangsa tidak menyedari akaun mereka digodam sehingga kenalan di dalam senarai telefon bimbit mereka memaklumkan ada menerima mesej untuk meminjam wang,” katanya.

Justeru, Mohd Kamarudin meminta pengguna telefon pintar untuk lebih berhati-hati apabila menerima mesej daripada individu tidak dikenali yang meminta kata laluan dihantar ke nombor telefon pengguna.

Beliau berkata, kata laluan itu digunakan untuk mengambil alih akaun aplikasi pesanan daripada mangsa seterusnya akan menggunakan modus operandi menyamar sebagai rakan.

Sehubungan itu, beliau, pengguna dinasihat mengaktifkan dua langkah pengesahan di aplikasi digunakan bagi mengelak aplikasi pesanan digodam sindiket.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button