Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Speaker akui berlaku khilaf dalam kira undi usul SOSMA

85 Ahli Parlimen setuju, bilangan tak hadir dipinda kepada 49

BANGI, 21 Syaaban 1443H, Khamis – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan berlaku kekhilafan dalam pengiraan undi ahli Parlimen ketika usul Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Situasi berkenaan menyebabkan beliau membuat pindaan terhadap keputusan bagi undian belah bahagian bagi usul berkenaan.

Tegas beliau, makluman tersebut diberitahu oleh ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif yang bertindak sebagai penghitung undi.

“Yang Berhormat Jempol, Salim telah memaklumkan berkenaan senarai undi di blok D1 semasa undi belah bahagian bagi usul dari Menteri Dalam Negeri yang dijalankan pada Rabu, 23 Mac 2022.

“Beliau yang merupakan penghitung undi bagi blok D1 memaklumkan telah terkhilaf menandakan Yang Berhormat Besut (Datuk Seri Idris Jusoh) tidak hadir dalam senarai undi walaupun sebenarnya Yang Berhormat Besut hadir semasa undian.

“Oleh itu, saya menggunakan Peraturan Mesyuarat 100 untuk meminda keputusan belah bahagian bagi usul dari Menteri Dalam Negeri tersebut daripada 84 bersetuju kepada 85 bersetuju dan tidak hadir dipinda dari 50 kepada 49 sahaja, manakala 86 tidak bersetuju tetap sama,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, pindaan itu tidak mengubah keputusan semalam memandangkan jumlah Ahli Parlimen yang tidak menyokong usul itu masih lebih tinggi, iaitu 86 undi.

Mengulas perkara itu, Azhar memaklumkan pihaknya sudah membuat pemeriksaan, termasuk menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan Idris semenangnya hadir ketika sesi undian, sebelum pindaan diumumkan.

Pada masa sama, Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen pembangkang supaya proses undian diperbaiki.

“Saya terbuka dengan cadangan proses undian yang lebih baik dan saya akan bawa cadangan ini untuk dibincangkan dalam Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat.

“Antara proses undian yang dibuat sebelum ini ketika sidang dijalankan secara hibrid, mungkin boleh dilaksanakan di Dewan Rakyat kerana teknologinya ada,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button