Berita Utama

Jais kumpul al-Quran, buku agama rosak akibat banjir

Tetapkan 6 lokasi sebagai pusat pengumpulan

BANGI, 23 Jamadilawal 1443H, Selasa – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menetapkan langkah-langkah yang perlu diambil dalam menguruskan naskhah al-Quran dan buku agama yang rosak akibat banjir.

Selaras dengan tanggungjawabnya menjaga kesucian al-Quran, Jais telah menetapkan pusat pengumpulan naskhah al-Quran dan buku agama yang musnah akibat banjir di enam lokasi terjejas.

Enam lokasi itu membabitkan Tanah Perkuburan Islam Sungai Serai (Daerah Hulu Langat), Tanah Perkuburan Islam Johan Setia (Daerah Klang), Masjid Al-Madaniah USJ 18, Subang Jaya (Daerah Petaling), Masjid As-Solihin Kancong Darat (Kuala Langat), Kompleks Islam Daerah Kuala Selangor dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya (Sepang).

Pengarah Jais berkata, semua pihak khususnya umat Islam di lokasi yang terjejas, boleh dan hendaklah menghantar naskhah al-Quran dan buku-buku agama yang telah mengalami kerosakan ke masjid-masjid kariah berdekatan mulai 27 Disember 2021 sehingga 30 Disember 2021 (Khamis), sebelum naskhah tersebut dikumpulkan di enam lokasi.

“Pihak masjid hendaklah memastikan kesemua naskhah yang dihantar ditempatkan di ruang yang sesuai, selamat dan bersih serta jauh daripada laluan manusia atau haiwan bagi mengelakkan ia dilangkah dan dipijak, serta diletakkan di kedudukan yang tinggi dari paras biasa persekitaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi penyimpanan yang tidak berbumbung, pihak masjid hendaklah menutup bahan-bahan terbabit menggunakan plastik atau kanvas bagi mengelakkan ia basah akibat terkena air hujan.

“Jais akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagiu menguruskan pengangkutan kesemua naskhah tersebut daripada masjid-masjid kariah sehingga keenam pusat pengumpulan al-Quran di atas dengan seberapa segera sebelum proses pelupusan dilaksanakan.

“Jabatan ini merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih di atas segala usaha dan kerjasama kesemua pihak dalam menjaga kesucian al-Quran demi memartabatkan agama Islam di negeri Selangor,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button