Berita Utama

Usul SOSMA: Kerajaan tak patut bergantung sokongan pembangkang

Perlu mandat lebih besar, stabil untuk apa saja pembentangan RUU

BANGI, 21 Syaaban 1443H, Khamis – Kerajaan tidak sepatutnya bergantung kepada sokongan pembangkang dalam apa sahaja pembentangan rang undang-undang (RUU), sebaliknya memerlukan mandat lebih besar dan stabil.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu dibuktikan apabila kerajaan tewas dalam undian belah bahagi berkaitan subseksyen Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) semalam.

Katanya, beliau sendiri tidak menyertai undian berkenaan kerana berada di Dubai mengikuti Expo Dubai 2020 atas kapasiti Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Bagaimanapun, surat pemakluman telah dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat bagi menyatakan ketidakhadirannya.

“Ahli Parlimen Kelab Penyokong Kerajaan termasuk bebas mempunyai lebihan angka yang sangat nipis dengan 114 kerusi sahaja.

“Justeru, kerajaan memerlukan mandat yang lebih besar dan stabil untuk tidak bergantung kepada sokongan pembangkang dalam apa sahaja pembentangan RUU,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Ahli Parlimen Bebas itu berkata, keyakinan pelabur asing dan pemulihan ekonomi sendiri bergantung kepada kestabilan politik negara dan kekuatan kerajaan.

“Sepanjang di Dubai bertemu dengan pelbagai pihak, saya mendapat respon kurang memberangsangkan pelabur asing melibatkan pelabur di Malaysia ekoran ketidakstabilan politik negara,” katanya.

Justeru, beliau melihat perjanjian dengan pembangkang perlu diperkukuhkan semula dengan terma-terma yang boleh memberikan tambahan keyakinan kepada kekuatan kerajaan.

“Terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menilai suasana semasa dan menyusun kekuatan kerajaan sementara menunggu pembubaran Parlimen,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button