Dunia

PBB dakwa korban perang Russia-Ukraine cecah 1,035

Angka sebenar dijangka jauh lebih tinggi sejak perang tercetus

GENEVA, 22 Syaaban 1443H, Jumaat – Sekurang-kurangnya 1,035 orang awam terbunuh dan 1,650 cedera sejak Russia melancarkan perang ke atas Ukraine, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

Menurut badan antarabangsa itu, bilangan rakyat Ukraine yang melarikan diri juga melebihi 3.6 juta orang.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) berkata, 48 kanak-kanak adalah antara yang maut di Ukraine.

Namun, merujuk laporan Pejabat Pendakwa Negara Ukraine yang mendakwa seramai 128 kanak-kanak telah terbunuh dan sekurang-kurangnya 172 cedera.

Kebanyakan mangsa awam yang direkodkan berpunca daripada senjata letupan dengan kawasan berimpak luas.

Lain-lain punca adalah disebabkan daripada serangan artileri berat, sistem roket, peluru berpandu serta serangan udara.

“(OHCHR) percaya bahawa angka sebenar adalah jauh lebih tinggi, kerana penerimaan maklumat daripada beberapa lokasi di mana pertempuran sengit berlaku,” katanya.

Sementara itu, agensi pelarian PBB berkata, jumlah rakyat yang melarikan diri sejak operasi ketenteraan Russia bermula 24 Februari adalah 3,674,952, di mana 2.17 juta pergi ke negara jiran, Poland.

Hampir 564,000 telah melarikan diri ke Romania, lebih 374,000 ke Maldova, lebih 330,000 ke Hungary dan jumlah di Slovakia melebihi 260,000.

Russia juga telah menerima lebih daripada 271,000 pelarian.

Sebelum ini, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) berkata, tempoh sebulan perang telah menyebabkan 4.3 juta kanak-kanak kehilangan tempat tinggal – lebih separuh daripada anggaran 7.5 juta kanak-kanak di Ukraine.

Antara kanak-kanak yang hilang tempat tinggal adalah lebih 1.8 juta yang menyeberang ke negara jiran sebagai pelarian dan 2.5 juta kehilangan tempat tinggal masih berada dalam Ukraine.

“Perang itu telah menyebabkan salah satu perpindahan kanak-kanak berskala besar sejak Perang Dunia II,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button