Berita Utama

Perundangan Islam tidak konsisten, mudah dicabar : Amir ISMA

Perlihat Islam lemah, beri kesan kepada keselamatan negara

BANGI, 23 Syaaban 1443H, Sabtu – Pentaksiran kepada Perlembagaan undang-undang Islam yang sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten seolah-olah memperlihatkan Islam itu agama lemah.

Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, situasi ini sekali gus boleh membawa kesan besar kepada keselamatan negara.

“Ini satu situasi yang sangat menyedihkan dari segi sejauh mana perundangan negara yang boleh membela kepentingan dan kedudukan agama Islam.

“Jadi yang ini pun kita tak boleh nak selesaikan,pentaksiran kepada Perlembagaan dan undang-undang itu sentiasa berubah dan tidak konsisten,” katanya seperti dipetik TV Pertiwi, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perkembangan terkini isu berkenaan anak-anak Loh Siew Hong.

Semalam, Loh membuat permohonan membatalkan pengislaman anak-anaknya yang ditukarkan secara sepihak oleh bekas suaminya.

Pemohonan semakan kehakiman berkenaan difailkan oleh Loh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Ustaz Abdullah Zaik melihat perkara berkenaan sebagai sesuatu yang mencabar maruah umat Islam.

“Bagi kita umat Islam sesuatu keadaan yang mencabar maruah dan memberi mesej yang sangat tidak baik kepada umat Islam kerana kita lihat banyak undang-undang Islam atau akta-akta peruntukan yang ada dicabar,” katanya.

Kata beliau lagi, bukan sahaja Perlembagan dan perundangan Islam dicabar, malah institusi-institusi Islam yang lain juga diperlakukan sama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan enakmen kerajaan negeri termasuk pentaksiran Perlembagaan terhadap hak penjagaan anak-anak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button