Berita Utama

Lapor keputusan palsu COVID-19 boleh dikenakan tindakan undang-undang

Majikan boleh lapor kepada KKM sekiranya pekerja tunjuk keputusan palsu

KUALA LUMPUR, 23 Syaaban 1443H, Sabtu – Kementerian Kesihatan (KKM) boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didapati memalsukan keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen dalam aplikasi MySejahtera, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran MyCHAMPION Peringkat Kebangsaan, Khairy berkata, perbuatan melaporkan keputusan saringan COVID-19 yang palsu adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, majikan boleh melaporkan kepada KKM sekiranya mendapati pekerjanya melaporkan keputusan COVID-19 yang palsu.

“Sudah tentu kalau majikan nak semak, mungkin kalau dia (pekerja) nak tipu, nasib dia tak baik majikan suruh buat RTK profesional, dia ‘kantoi’. Kita boleh ambil tindakan undang-undang.

“Jadi jangan sampai kita terpaksa ambil tindakan undang-undang kerana salah lapor dalam MySejahtera yang menjadi kesalahan,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan membenarkan masyarakat melaporkan ujian kendiri COVID-19 dalam MySejahtera tanpa memerlukan mereka membuat saringan profesional, sebagai persediaan memasuki fasa peralihan ke endemik.

“Bila kita masuk fasa peralihan (endemik), kita kena banyak bergantung kepada solidariti komuniti dan kebertanggungjawaban individu. Ini takkan semua benda kerajaan nak periksa, kuat kuasa dan denda.

“Jadi saya merayu kepada rakyat Malaysia bila kita dah bagi tanggungjawab kepada anda untuk buat ujian kendiri mestilah jujur, jangan semata-mata nak ponteng kerja pergi melaporkan keputusan positif yang palsu,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, KKM tidak berkongsi data pengguna MySejahtera dengan mana-mana pihak.

“Buat masa ini, MySejahtera dimiliki oleh KKM termasuk segala data yang berada dalam aplikasi itu, tiada isu keselamatan data kerana ia dikendalikan oleh KKM dan data itu tidak boleh digunakan untuk matlamat lain selain memantau pandemik COVID-19,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button