Pahang ambil tindakan undang-undang pihak fitnah negeri abai alam sekitar
Wan Rosdy kata sudah laksana pelbagai cara urus hutan
BANGI, 24 Syaaban 1443H, Ahad – Kerajaan negeri Pahang menyatakan pihaknya sudah melaksanakan pelbagai cara dan inisiatif pengurusan mengenai hutan dan kelestarian alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.
Justeru, ia membidas mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah kononnya kerajaan negeri mengabaikan kepentingan pemuliharaan alam sekitar di negeri itu.
Malah, kerajaan negeri Pahang juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah.
Menegaskan perkara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya komited melaksanakan pengurusan dan pemuliharaan bagi Hutan Simpan Kekal (HSK) berkeluasan 1.59 hektar dan kawasan berhutan (2.04 hektar), iaitu meliputi 57 peratus keluasan negeri.
Antara dilaksanakan pewartaaan HSK, tambahan hutan tadahan air, tanah kerajaan membabitkan persempadanan dengan negeri jiran, iaitu Kelantan, Perak, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor dikenali sebagai Sempadan Hijau.
Wan Rosdy berkata, setiap projek pembangunan di Pahang dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Katanya lagi, kerajaan negeri telah meluluskan bebarapa kawasan HSK di Jelai dan Tanum (Lipis) sebagai koridor ekologi Central Forest Spine (CFS) selain mewartakan hutan simpan di Sungai Ikan, Ulu Telom, Cameron Highlands sebagai HSK.
Bahkan, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan untuk mewartakan kawasan seluas 863.85 hektar di Sungai Yu, Lipis sebagai HSK yang menjadi antara inisiatif menyokong CFS bagi tujuan pemuliharaan flora dan fauna untuk pembangunan sektor ekopelancongan.
“Bagi memperkasakan sektor ekopelancongan dan sumber biodiversiti, kerajaan negeri telah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNG) dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang (MBNP) mengenai dasar umum pemeliharaan, penggunaan, kawalan, pengurusan, pembangunan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negara Pahang.
“Kedua-duanya berfungsi sebagai penasihat kepada kerajaan negeri bagi melindungi alam semula jadi dan sumber biodiversiti, kajian dasar bioteknologi dan melindungi harta intelek khazanah flora dan fauna termasuk aspek promosi dan pengiklanan kawasan ekopelancongan,” katanya seperti dipetik media tempatan.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, dalam usaha penambahbaikan dan inisiatif pembangunan tersebut, kerajaan negeri telah melancarkan kempen menanam 100 juta pokok di kawasan hutan yang sehingga ini sudah mencapai 3.3 juta pokok ditanam.
“Kerajaan menyasarkan penanaman sebanyak lima juta benih pokok setahun menerusi kempen ‘1 Pokok, 1 Rakyat Pahang’ yang telah dimulakan sejak dilancarkan pada 31 Disember 2020 di Cameron Highlands.
“Di samping itu, kita juga mengadakan projek pemuliharaan Tasik Chini sebagai HSK dengan pembinaan benteng dan penanaman semula hutan,” katanya.
Sebelum ini, penerokaan hutan di Pahang membimbangkan penduduk negeri itu terutama apabila tibanya musim tengkujuh yang turut menyebabkan banjir.
Malah, pakar geologi berpandangan sekiranya pembalakan di negeri itu berterusan seperti sekarang, maka dijangka banjir tidak terkawal akan melanda setiap tahun dan bukannya lima atau 10 tahun sekali seperti berlaku sebelum ini.