Berita Utama

Johor benar rapat sejadah tanpa sentuhan antara jemaah

Solat tarawih 20 rakaat, witir tiga rakaat dibenarkan

BANGI, 25 Syaaban 1443H, Isnin – Johor membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah yang lain dalam fasa peralihan endemik bermula Jumaat ini.

Bagaimanapun, jemaah diingatkan membawa sejadah sendiri yang berukuran sekurang-kurangnya 3.5 kaki panjang dan 2.0 kaki lebar.

Perkara itu antara yang diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Ia dinyatakan dalam kenyataan bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Samsudin, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Khalid dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Kebenaran itu juga tertakluk kepada mereka yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) juga telah menetapkan beberapa prosedur dan garis panduan bagi pelaksanaan aktiviti bagi mengimarahkan masjid sempena Ramadan tahun ini.

“Program membudayakan al-Quran, kuliah umum, kuliah khas, kuliah dhuha, kuliah Zohor dan kuliah Jumaat, kelas takmir, kelas al-Quran, taklimat, kursus, forum, majlis zikir, majlis selawat, wirid dan tarikat dibenarkan dengan tidak melebihi tempoh dua jam.

“Aktiviti yang membabitkan bermalam ditangguhkan sehingga suatu arahan lain yang akan dimaklumkan.

“Untuk aktiviti memasak dalam kawasan masjid dan surau, tidak dibenarkan. Jamuan majlis boleh dilaksanakan di dalam masjid dan surau tetapi dilaksanakan secara berbungkus sahaja,” katanya.

Katanya lagi, jamuan berhidang dibenarkan sekiranya terdapat program rasmi yang telah diprogramkan dengan tidak melebihi 50 jemaah.

Bahkan, majlis ucapan dan penyerahan bantuan kepada asnaf dalam kawasan masjid dan surau dibenarkan.

Bagaimanapun, majlis ucapan dan penyerahan bantuan yang dianjurkan oleh parti politik atau wakil rakyat dalam kawasan masjid dan surau tidak dibenarkan, kecuali Menteri Besar Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor sahaja, katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi solat tarawih sepanjang bulan Ramadan, hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan solat sunat witir tiga rakaat sahaja.

Katanya, imam yang bertugas digalakkan membaca surah dalam juzuk yang ke-30, dan imam jemputan solat sunat tarawih hendaklah yang telah mendapat surat kebenaran dari Kadi Daerah.

Katanya lagi, bagi memelihara kesucian agama Islam, umat Islam tidak dibenarkan menganjur atau menghadiri majlis berbuka puasa di rumah ibadat agama bukan Islam.

“Edaran bubur lambuk, jamuan majlis berbuka puasa, sahur dan moreh adalah dibenarkan untuk dilaksanakan secara berbungkus sahaja.

“Bagi Program Tadarus Al-Quran boleh dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi dua jam selepas selesai solat witir atau waktu yang telah diprogramkan oleh masjid dan surau. Pelaksanaan tazkirah sebelum, semasa dan selepas tarawih adalah tidak dibenarkan.

“Majlis Khatam Al-Quran dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi dua jam. Bagi majlis Qiamullail dibenarkan dalam tempoh dua jam sebelum masuk waktu subuh,” katanya.

Kenyataan itu turut menyatakan semua jemaah masjid dan surau perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memakai pelitup muka dan mengimbas MySejahtera.

Tegasnya, jemaah yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema tidak dibenarkan hadir ke masjid atau surau.

“Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor hendaklah membuat pemantauan SOP masjid dan surau. Mana-mana masjid dan surau yang didapati melanggar SOP hendaklah ditutup,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button