Berita Utama

KPDNHEP jamin siasat kenaikan harga barang terperinci

Setiap aduan akan diselidik bermula dari pengeluar hingga peruncit

KUALA TERENGGANU, 25 Syaaban 1443H, Isnin – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan akan menyiasat setiap kes kenaikan harga barangan yang melampau secara terperinci dan menyeluruh di setiap peringkat pengedaran bagi mengelak berlakunya aktiviti pencatutan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, setiap aduan kenaikan harga tidak munasabah akan diselidik bermula daripada pihak pengeluar, pemborong, pengedar dan peruncit bagi melihat puncanya.

Beliau berkata, sebagai negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka, harga barangan ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran serta peniaga boleh menentukan sebarang perubahan harga barangan namun tertakluk kepada penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Kita tidak boleh mengelak kenaikan harga ini disebabkan pelbagai faktor namun tidak munasabah jika keuntungan yang diperoleh di setiap peringkat pengedaran barangan tersebut membebankan pengguna.

“Sekiranya siasatan kita mendapati kenaikan harga itu tidak munasabah dan berlaku pencatutan berdasarkan dokumen pembelian di setiap rantaian tadi, maka mereka akan dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011,” katanya kepada pemberita selepas majlis Apresiasi Media Terengganu di sini, malam tadi.

Menurutnya, lebih 2,200 pegawai penguat kuasa dengan dibantu kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) akan memantau aktiviti perniagaan di bazar Ramadan seluruh negara tahun ini.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button