Berita UtamaDunia

Taliban haramkan BBC, Voice of America di Afghanistan

Dakwa penyiaran agensi berita canggah dengan polisi kerajaan

KABUL, 25 Syaaban 1443H, Isnin – Taliban mengharamkan agensi berita antarabangsa, BBC dan Voice of America (VOA) daripada menyiarkan berita berkaitan Afghanistan.

BBC melaporkan penyiaran beritanya dalam bahasa Pashto, Persian dan Uzbek telah diharamkan di Afghanistan.

Tindakan berkenaan dibuat selepas Taliban mengarahkan rakan kongsi BBC TV termasuk stesen televisyen tempatan, Shamshad, Ariana dan Arezo mengeluarkan penyiaran antarabangsa itu dari saluran Afghanistan.

Sementara itu, kumpulan sumber media gergasi Afghanistan, MOBY memberitahu, keputusan sama turut dibuat ke atas agensi penyiaran VOA berikutan arahan daripada perisikan Taliban.

Terdahulu, jurucakap Kementerian Kebudayaan dan Maklumat, Abdul Haq Hammad mengesahkan bahawa saluran penyiaran VOA dihentikan.

Bagaimanapun, stesen penyiar radio yang dibiayai Amerika Syarikat (AS) itu masih mengekalkan operasi di Afghanistan dan tidak membuat keputusan untuk menamatkan operasi di negara berkenaan.

Pegawai Taliban berkata, penyiaran VOA bertentangan dengan polisi kerajaan.

Sebelum ini, Taliban menahan 11 petugas media termasuk tiga petugas TOLOnews.

Sehingga kini, masih ramai petugas media membuat liputan di Afghanistan namun tidak mampu menjalankan tugas mereka secara terbuka berikutan ketakutan dengan tindak balas Taliban.

Ramai petugas media dipenjarakan atau diseksa ketika menjalankan tugas mereka.

Sementara itu, ketua BBC World Service, Tarik Kafala menggesa Taliban menarik semula keputusan berkenaan dan membenarkan operasi penyiaran di Afghanistan dikembalikan segera. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button