Berita Utama

Jawatan MB Negeri Sembilan perlu diberi pada UMNO jika menang kerusi lebih

Jika Aminuddin tetap dipilih, akan ada masalah nanti

REMBAU, 25 Muharam 1445H, Sabtu – Sekiranya UMNO memenangi lebih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, maka jawatan Menteri Besar patut diberikan kepada Datuk Seri Jalaluddin Alias, kata Khairy Jamaluddin.

“Jika Barisan Nasional mempunyai lebih banyak kerusi daripada Pakatan Harapan maka Jalaluddin (sepatutnya) MB. Itu sahaja, noktah.

“Ia adalah matematik dan siapa yang paling banyak menang akan mendapatnya (jawatan).

“Jalaluddin adalah pengerusi badan perhubungan UMNO (negeri) dan walaupun dia Ahli Parlimen dia tidak memegang jawatan di peringkat persekutuan,” katanya selepas mengundi di SM Agama Haji Mohd Yatim di sini pada Sabtu (12 Ogos).

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu seperti dilapor The Star menambah, jika Datuk Seri Aminuddin Harun dari Pakatan Harapan (PH) dicadangkan untuk jawatan itu walaupun gabungannya tidak memenangi bahagian besar kerusi itu, akan ada masalah kerana UMNO akan dilihat lemah.

Ditanya mengenai pandangannya mengenai kedudukan Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekiranya Barisan Nasional mengalami nasib buruk dalam enam pilihan raya negeri, katanya, beliau tidak melihat sebarang perubahan dalam kepimpinan.

“Jika UMNO mendapat keputusan paling teruk hari ini, Ahmad Zahid tidak akan berundur. Dia akan buat tak tahu (pura-pura semuanya OK),” katanya.

Mengulas peratusan keluar mengundi yang rendah, Khairy berkata, beliau tidak mengetahui puncanya tetapi berandaian bahawa rakyat mungkin sudah ‘penat’.

“Kita tidak tahu apa maksudnya dan kita akan lihat malam ini apabila mendapat keputusan.

“Mungkin sudah terlalu banyak pilihan raya (jadi) kepenatan politik. Cuaca boleh memainkan peranan.

“Tetapi seperti yang saya katakan tadi, pilihan raya ini penting. Peringkat negeri adalah tempat kebanyakan isu sehari-hari orang ramai diselesaikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button