Berita Utama

627 individu ditahan disyaki terlibat curi elektrik bagi kegiatan Bitcoin

Penahanan hasil kerjasama TNB dan Jabatan Siasatan Jenayah

KUALA LUMPUR, 26 Syaaban 1443H, Selasa – Polis menahan 627 individu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri elektrik bagi perlombongan bitcoin dan merampas pelbagai barang kes bernilai RM69.8 juta sejak 2020 hingga kini.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penahanan mereka dilakukan hasil kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, hasil kerjasama itu juga PDRM telah menerima sembilan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton daripada TNB untuk digunakan JSJ dalam membanteras kegiatan mencuri elekrik di seluruh negara.

“PDRM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak TNB atas sumbangan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din menyerahkan kenderaan itu kepada PDRM di Menara 1, Bukit Aman, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan kegiatan melombong bitcoin secara haram dan menyalurkan maklumat kepada PDRM atau TNB jika ada mana-mana pihak selain wakil TNB membuat sambungan atau usikan kepada pepasangan TNB.

“Pemilik premis juga diminta berwaspada sebelum menyerahkan premis kepada penyewa dan melawat secara kerap bagi mengelak premis disalah guna,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button