Berita Utama

Pengeluaran KWSP boleh dibuat menerusi portal mulai 1 April

Ahli diingatkan pertimbang jaminan pendapatan mereka pada masa depan

KUALA LUMPUR, 26 Syaaban 1443H, Selasa – Pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dibuat menerusi portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my, yang juga boleh diakses melalui aplikasi mudah alih i-Akaun bermula 1 April ini.

KWSP dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa permohonan untuk pengeluaran tersebut akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 hingga 30 April ini, manakala pembayaran akan dibuat pada 20 April.

“Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa ahli. Ahli perlu memastikan bahawa akaun bank mereka adalah aktif dan di bawah nama ahli sendiri,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu akaun bersama atau akaun yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan dan semakan status permohonan boleh dibuat bermula 9 April melalui portal yang sama.

KWSP menjelaskan, ahlinya yang ingin mengeluarkan simpanan digalakkan menyemak baki simpanan KWSP mereka melalui i-Akaun (ahli), aplikasi mudah alih i-Akaun, atau Kios KWSP dan jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50.

“Ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka. Ahli juga perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun mereka,” menurut kenyataan itu.

Pada 16 Mac lepas, kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban rakyat Malaysia di bawah umur 55 tahun yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19 bermula 1 hingga 30 April ini.

“KWSP mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan, dan hanya mengeluarkan simpanan mereka sekiranya benar-benar perlu,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas tersebut boleh didapati melalui ‘Ask ELYA’ dalam laman web KWSP, atau boleh menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di 03-8922 4848 bermula 1 April, selain berjumpa pegawai Khidmat Nasihat Ahli di cawangan KWSP seluruh negara untuk mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan mereka. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button