Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Umat Islam akan bersatu selamatkan akidah anak Loh: PAS

Keislaman ketiga anak Loh atas dasar kerelaan

BANGI, 26 Syaaban 1443H, Selasa – Mana-mana pihak diberi amaran agar tidak menyatakan keinginan mahupun hasrat untuk menukarkan agama tiga anak mualaf, Loh Siew Hong.

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata, umat Islam di negara ini akan bersatu demi menyelamatkan akidah mereka.

“Keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyerahkan tiga kanak-kanak ini kepada ibu kandungannya hanyalah melibatkan isu penjagaan dan tidak menyentuh isu agama apatah lagi memerintahkan atau membenarkan anak-anak tersebut untuk meninggalkan agama Islam.

“Keislaman mereka adalah atas dasar kefahaman, kesedaran dan kerelaan mereka sebagai manusia yang merdeka hasil daripada pengajian serta pendidikan Islam yang mereka lalui,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya, PAS meminta semua ahli politik, para cendekiawan, mufti, pendakwah, badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk bersatu serta senada dalam isu keselamatan akidah ketiga anak Loh.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Mei ini untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Loh bagi mencabar tindakan bekas suaminya mendaftarkan ketiga-tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

Peguam, A Srimurugan yang mewakili Loh berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh secara dalam talian.

Loh, 34, selaku pemohon memfailkan permohonan tersebut pada 25 Mac lepas dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Ibu tunggal itu memohon deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya adalah penganut agama Hindu dan bekas suaminya, M Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

Wanita itu juga menuntut deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya, sebagai kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk memeluk agama Islam, tanpa keizinannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button