Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

5,000 gerai di 72 bazar Ramadan dibuka di seluruh KL bermula Ahad

Lebih 10,000 sukarelawan akan pantau pematuhan SOP elak COVID-19

BANGI, 26 Syaaban 1443H, Selasa – Sebanyak 72 lokasi bazar Ramadan membabitkan 5,000 gerai akan beroperasi di sekitar ibu kota sepanjang bulan Ramadan bermula Ahad ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pengoperasian itu bermula sekitar 3 petang hingga 8 malam.

“Walaupun selepas 1 April kita telah masuk fasa peralihan ke endemik, kita mahu mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjaga penjarakan dan SOP (prosedur operasi standard) lain, ” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Shahidan turut menyasarkan penglibatan lebih 10,000 sukarelawan atau ‘duta komuniti’ bertujuan memantau, memberi peringatan, nasihat dan teguran berkaitan pematuhan SOP bagi mengekang penularan COVID-19.

Dalam masa sama beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mengenal pasti dan mewujudkan beberapa lokasi strategik bagi penyusunan penjaja di sekitar ibu negara bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan secara berpusat, lebih sistematik dengan ruangan lebih kondusif.

“Penyusunan semula penjaja ini akan diperkenalkan di seluruh kawasan di Kuala Lumpur, paling penting kita hendak pastikan penduduk sekitar tidak terganggu dengan kehadiran penjaja yang mahu mencari rezeki,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan program tersebut akan dijalankan secara berfasa dengan memberi tumpuan kepada lokasi khas penjaja dalam bandar mengikut keutamaan.

“Program penyusunan semula penjaja itu juga mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi kelebihan kepada penjaja antaranya kanopi percuma dan diskaun sewaan tapak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button