Hampir 5,000 terbunuh di Mariupol sejak serangan Russia
160,000 orang awam masih terperangkap di bandar

LVIV, 26 Syaaban 1443H, Selasa – Hampir 5,000 orang, termasuk kira-kira 210 kanak-kanak terbunuh di bandar Mariupol, selatan Ukraine sejak tentera Russia mengepung kawasan itu, kata jurucakap datuk bandar.
Namun, tidak jelas bagaimana Datuk Bandar, Vadym Boichenko mengira jumlah kematian akibat pengeboman selama sebulan oleh Russia.
Tindakan ketenteraan itu telah memusnahkan bandar berkenaan dan memerangkap puluhan ribu penduduk tanpa bekalan elektrik dan dengan sedikit bekalan makanan.
Pejabat Boichenko berkata, 90 peratus bangunan Mariupol rosak dan 40 peratus musnah, termasuk hospital, sekolah, tadika dan kilang.
Kira-kira 140,000 orang telah melarikan diri dari bandar di Laut Azov sebelum pengepungan Russia bermula dan 150,000 telah keluar sejak itu, meninggalkan 170,000 orang masih tinggal di sana, menurut angka yang tidak dapat disahkan oleh Reuters dengan segera.
Boichenko yang tidak lagi berada di Mariupol pula berkata di televisyen nasional, semalam bahawa kira-kira 160,000 orang awam masih terperangkap di bandar terbabit.
“Rakyat berada di luar garisan malapetaka kemanusiaan. Kami perlu mengosongkan Mariupol sepenuhnya,” katanya.
Ukraine berkata, adalah mustahil untuk mewujudkan sebarang koridor selamat, memetik laporan risikan mengenai kemungkinan ‘provokasi’ Russia di sepanjang laluan.
Russia yang menyerang Ukraine pada 24 Februari menafikan menyasarkan orang awam dan menyalahkan Ukraine atas kegagalan berulang kali bersetuju mengenai koridor selamat untuk penduduk yang terperangkap.
“Persekutuan Russia bermain dengan kami. Kami berada di tangan penceroboh,” kata Boichenko.
Kedua-dua pihak bersedia untuk menyambung semula rundingan damai pada hari Selasa di Turki. – Agensi