Berita UtamaDunia

Jordan bakal campur tangan elak ketegangan di Palestin berulang pada bulan Ramadan

Raja Abdullah bertemu Presiden Palestin, Menteri Luar Israel bincang strategi bendung pergolakan

GAZA, 26 Syaaban 1443H, Selasa – Desakan diplomatik sedang dijalankan bagi mengelak berulangnya keganasan Ramadan tahun lalu di wilayah Palestin yang diduduki yang membawa kepada konflik keempat antara Israel dan Gaza.

Raja Abdullah dari Jordan bertemu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas selama dua jam berbincang di Ramallah, semalam dalam lawatan pertamanya ke Tebing Barat yang diduduki sejak 2017.

Raja Abdullah sudah bertemu Menteri Luar Israel, Yair Lapid bulan ini untuk membincangkan strategi bagi membendung pergolakan ketika Ramadan.

Penyelaras kerajaan negara pengganas Israel di wilayah Palestin, Ghassan Alyan juga telah pergi ke Kaherah untuk rundingan keselamatan dengan pegawai Mesir.

Pegawai Palestin telah berulang kali memberi amaran bahawa Tebing Barat yang diduduki berada di ambang ‘meletup’.

Pada masa ini, tahun lepas, pergolakan di Masjid Al-Aqsa dan percubaan peneroka haram Israel mengusir penduduk Palestin dari rumah mereka membawa kepada gelombang keganasan dan serangan 11 hari oleh Israel ke atas Gaza.

Selain Ramadan – yang bermula hujung minggu depan – ketegangan yang dipercayai akan berlaku termasuk kebangkitan semula ‘Land Day’ pada 30 Mac, Hari Tahanan Palestin pada 17 April, ulang tahun ‘Great March of Return’, ulang tahun konflik Gaza tahun lalu dan Hari Nakbah pada 15 Mei.

Melihat ketegangan yang ketara di Baitulmaqdis, yang masih belum reda sejak konflik terakhir, penganalisis di International Crisis Group, Tahani Mustafa berpendapat, adalah masuk akal untuk Jordan mencuba dan campur tangan dalam beberapa cara bagi meredakan ketegangan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button