Berita UtamaIstimewa

Kritik usaha martabat bahasa Melayu, Rafidah Aziz kuno

Dunia saksi kejayaan negara maju seperti Jepun, Jerman cekal pertahankan bahasa ibunda

BANGI, 26 Syaaban 1443H, Selasa – Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dibidas kerana mempertikaikan usaha kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.

Sebelum ini, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menyifatkan fokus kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah langkah mundur yang tidak membantu rakyat untuk maju dalam dunia moden.

Selain itu, Rafidah juga mengkritik keputusan kerajaan yang mewajibkan pelajar-pelajar asing di Malaysia untuk mempelajari bahasa Melayu.

Hal ini kerana, menurutnya, bahasa Inggeris lebih dikenali secara global, jadi Malaysia tidak sepatutnya undur ke belakang dengan memperkasakan bahasa Melayu.

Menyelar kenyataan itu, Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim secara sinis menyifatkan ahli politik veteran itu kuno.

“Saya rasa beliau yang kuno. Dunia menyaksikan kejayaan negara-negara maju dunia yang cekal mempertahankan bahasa ibunda seperti Jepun dan Jerman.

“Arus globalisasi dan ledakan teknologi digital juga akan mengintegrasikan seluruh warga dalam dunia maya. Suatu hari nanti bahasa bukan lagi pembeza.

“Hari ini kita sudah ada pelbagai perisian ‘online’ bagi ‘word translator’ dan ‘voice translator’. Tidak mustahil suatu hari nanti teknologi akan membolehkan penanaman cip dalam otak yang membolehkan kita bertutur dan memahami semua bahasa dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, Muhammad Lukman menegaskan adalah jelas kemajuan dan ketamadunan tidak lagi akan berpaksikan bahasa.

“Jadi sementara kita ada masa dan tenaga, eloklah kita luangkan untuk memperkasakan bahasa Melayu tanpa menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.

“Jangan rendahkan mana-mana bahasa wahai bekas menteri kuno UMNO!” tegasnya.

Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN untuk mencadangkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Perdana Menteri berkata, ia adalah usaha untuk memartabatkan bahasa ibunda itu di peringkat antarabangsa.

Pautan terdahulu;

PM akan guna bahasa Melayu dalam mesyuarat antarabangsa

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button