Berita Utama

Penggunaan Sistem e-Mualaf diperluaskan: Jakim

Jakim bekerjasama dengan JPN kumpul data individu peluk Islam

BANGI, 26 Syaaban 1443H, Selasa – Sistem e-Mualaf bakal diperluaskan bagi menyelaraskan data golongan berkenaan secara lebih sistematik.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, ketika ini, sistemnya tidak menyeluruh dan membabitkan enam negeri sahaja selain tiga Wilayah Persekutuan.

“Pihak Jakim sedang berunding dengan baki tujuh negeri lagi kerana keperluan pangkalan data khas sebegini perlu diselaraskan.

“Sistem berkenaan cuma melibatkan Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan serta Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerusi pautan laman rasmi Jakim,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan hari ini.

Sistem e-Mualaf 1.0 diwujudkan hampir 10 tahun lalu sebagai pangkalan data berpusat maklumat saudara baharu termasuk isu pembelajaran, kebajikan dan pengurusan jagaan.

Kemudian ia ditingkatkan kepada versi 2.0 dengan tambahan fungsi cetakan kad mualaf yang lengkap kod QR bagi memudahkan semakan pengesahan diri jika berlaku isu kecemasan.

Dalam masa sama, Hakimah berkata, Jakim akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengumpulan data individu memeluk Islam bukan di pejabat agama.

“Ada masuk Islam di luar negara atau pertubuhan bukan kerajaan, maka rekod pun tiada di jabatan agama Islam negeri sehingga timbul isu tuntutan jenazah apabila meninggal dunia,” katanya.

Justeru, katanya lagi, bagi mengelak berlaku perebutan sedemikian, sistem e-Mualaf perlu ditambah baik meliputi semua negeri supaya ada koordinasi maklumat secara terperinci.

Sehingga kini dianggarkan hampir 9,000 orang menjadi mualaf setiap tahun didaftarkan di seluruh Malaysia dengan kebanyakan daripada kaum Cina, manakala Sabah paling ramai merekodkan jumlah saudara baharu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button