Berita Utama

Tegar tolak vaksin punca 57 guru KAFA digantung tugas

Tindakan berpandukan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah

BANGI, 26 Syaaban 1443H, Selasa – Tindakan menggantung tugas 57 orang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor dilakukan susulan mereka tegar menolak untuk divaksin walaupun berulang kali dimaklumkan risiko bakal dihadapi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan itu melalui proses panjang termasuk rundingan serta perbincangan antara beberapa pihak terbabit.

Katanya, guru berkenaan juga sudah dimaklumkan mengenai risiko tindakan menolak untuk divaksin termasuk digantung tugas serta ditamatkan perkhidmatan.

“Kita sudah ambil langkah wajar dengan mengingatkan mereka (mengenai risiko) sejak Ogos dan September tahun lalu dan kita panggil mereka satu persatu.

“Selepas beberapa proses, mereka ini masih tegar walaupun sudah ulang kali dimaklumkan mengenai risiko yang bakal mereka hadapi.

“Kita hormati pendirian mereka tetapi ia membawa risiko kepada anak-anak dan guru di sekolah jadi kita tidak mahu mengambil risiko itu,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, keputusan itu sukar diambil tetapi perlu dilaksanakan demi memastikan kesejahteraan komuniti dijaga.

Semalam, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, seramai 57 guru KAFA di Selangor yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan, mulai bulan ini.

Kesemua guru berkenaan diberi masa untuk mendapatkan vaksin COVID-19 dalam tempoh gantung tugas itu dan sekiranya masih berdegil serta tidak mahu mengambil vaksin, tindakan tamat perkhidmatan akan dilaksanakan.

Tindakan berpandukan ketetapan dikeluarkan pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan perkara sama kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button