Berita Utama

Aplikasi ‘Saudi Visa Bio’ selari pelan transformasi TH

Memudahkan urusan pendaftaran jemaah haji dan umrah

KUALA LUMPUR, 27 Syaaban 1443H, Rabu – Aplikasi ‘Saudi Visa Bio’ yang dibangunkan kerajaan Arab Saudi bagi memudahkan urusan pendaftaran jemaah haji dan umrah dari Malaysia ke negara itu adalah selari dengan pelan tranformasi Lembaga Tabung Haji (TH) iaitu Hijrah24, yang menekankan usaha digitalisasi dalam pengurusan haji.

Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pengenalan aplikasi berkenaan bertujuan mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen dan kastam dengan menambah baik proses imbasan pasport, imbasan muka dan cap jari (biometrik) selain menjimatkan masa ketika para jemaah haji tiba di Tanah Suci.

Oleh itu, katanya inovasi berkenaan wajar diberi pujian dan malah usaha penambahbaikan seumpama itu juga perlu diteruskan pada masa hadapan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada para jemaah haji.

“Rakyat Malaysia amat bertuah kerana kerajaan Arab Saudi memilih Malaysia antara negara yang terawal dalam melaksanakan projek perintis aplikasi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aplikasi ‘Saudi Visa Bio’ yang kini dalam fasa pertama dan akan menggunakan cap jari atau muka untuk melengkapkan proses pengeluaran visa Umrah atau Haji, dilancarkan di Malaysia Isnin lepas.

Arab Saudi adalah negara pertama di dunia menggunakan teknologi pendaftaran biometrik melalui telefon pintar untuk pengeluaran visa elektronik. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button