‘Bidang kuasa Mahkamah Syariah tetap sama sejak lebih 30 tahun’
Usaha arus perdana syariah tak sukar kerana negara ada pelbagai institusi boleh digembleng

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
KUALA LUMPUR, 27 Syaaban 1443H, Rabu – Usaha untuk mengarusperdanakan syariah bukan suatu perkara yang sukar kerana negara mempunyai pelbagai institusi yang boleh digembleng.
Ia termasuk institusi pendidikan; institusi keselamatan; institusi penyelidikan; institusi penggubal dasar; institusi pelaksana dasar; institusi kehakiman; institusi keselamatan dan institusi ekonomi ataupun kewangan.
Bahkan, negara juga memiliki institusi tertinggi negara atau Ketua Utama Negara yang juga milik Islam.
Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, sudah banyak infrastruktur Islam yang ada di negara ini untuk diguna pakai bagi mengangkat kegemilangannya.
Namun, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mengakui cabaran yang dihadapi seolah-olah sukar, akibat daripada beberapa perkara.
Ini antaranya, kesukaran untuk mengurus tadbir Islam hasil daripada ‘dasar’ dalam Perlembagaan Persekutuan yang menguruskan sistem Persekutuan yang diamalkan iaitu dasar sebuah negara Persekutuan.
“Walaupun begitu, pada pengamatan saya, keadaan ini boleh di atasi dengan cara musyawarah kerjasama.
“Keadaan ini telah sekian lama berlaku, namun ia dapat diatasi melalui beberapa tindakan oleh para cendekiawan dan bijaksana serta kearifan para pemimpin dan pekhidmat awam. Dari itu, tertubuhnya beberapa institusi besar seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta universiti dan fakulti lain di universiti awam.
“Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM); Institusi Fatwa; Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM); KAGAT (ATM); BAKA/JIP (PDRM); YADIM; TV-Alhijrah; dan pelbagai lagi institusi Islam lain – YAPEIM, JAWHAR, Majlis Halal Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Mengarusperdana Syariah: Satu Aspirasi dalam Konvensyen Perundangan anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan wujudnya semua infrastruktur itu, ruang dan peluang yang telah dicipta dilihat sangat besar bagi mengarusperdanakan Islam, syariah dan perundangan syariah.
Dalam pada itu, Prof Shamrahayu berkata, kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) semakin dikecilkan natijah daripada keputusan atau tafsiran mahkamah sebelum itu.
Berikutan itu, katanya, bidang kuasa mahkamah dalam hal kesalahan terhadap perintah agama Islam semakin sempit.
“Bidang kuasa Mahkamah Syariah tetap sama sejak lebih 30 tahun lalu. Sampai bila perlu ditunggu lagi?
“Justeru, saya lebih mengharap supaya syariah (termasuk hukum-hakam dan perundangan Islam) difahami dan ditanam dalam minda dan pengetahuan para pengamal, personel dan hakim pada mahkamah di peringkat Persekutuan.
“CLP (Sijil Amalan Guaman) perlu diperkemas untuk memasukkan subjek Perlembagaan Persekutuan; Institusi Pendidikan swasta dikawal selia dengan baik tentang dua subjek utama, iaitu Malaysian Legal System (Sistem Perundangan Malaysia) dan Undang-Undang Perlembagaan,” sarannya.