Berita Utama

Insurans AS$20,000 kepada pengembara luar memasuki negara mulai Jumaat ini

Keperluan memiliki polisi dikecualikan bagi warganegara Singapura

BANGI, 27 Syaaban 1443H, Rabu – Kerajaan menetapkan AS$20,000 bagi perlindungan insurans COVID-19 kepada pengembara luar yang ingin memasuki negara bermula Jumaat ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keperluan itu terpakai ke atas pengembara warganegara asing yang memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Jangka Pendek (Sosial) tanpa mengira status vaksinasi COVID-19 mereka.

“Perlindungan insurans itu antara lain bagi menanggung kos kuarantin, rawatan dan kemasukan ke hospital sekiranya dijangkiti COVID-19 ketika berada di negara ini.

“Bagaimanapun, keperluan memiliki polisi perlindungan insurans itu dikecualikan bagi warganegara Singapura atau Malaysia; penduduk tetap Singapura atau Malaysia dan pemegang Pas Jangka Panjang di Singapura atau Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy bagaimanapun mengambil maklum ketetapan terkini oleh Singapura berhubung insurans (COVID-19 dan pengembaraan) bermula Jumaat ini serta atas dasar timbal balas, khusus bagi pengembara dengan vaksin COVID-19 yang lengkap.

“Pengecualian ini terpakai bagi pengembara yang memasuk Malaysia dari Singapura menggunakan laluan udara, darat dan laut,” katanya lagi.

Beliau dalam masa sama, menasihati orang ramai menjayakan fasa peralihan ke endemik melalui tanggungjawab individu dan solidariti dalam kalangan komuniti.

Selain itu, orang ramai disaran supaya mengelak perhimpunan yang sukar menjalankan penjarakan fizikal, selain menjauhi ruang dengan pengudaraan tidak baik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button