Berita Utama

Keluasan tanah rizab Melayu di Pahang 436,910.47 hektar

TRM strategik dari sudut ekonomi akan dibangun ikut kesesuaian

KUANTAN, 27 Syaaban 1443H, Rabu – Jumlah keseluruhan keluasan tanah rizab Melayu (TRM) di Pahang yang diwartakan di bawah Enakmen Rizab Melayu (ERM) adalah seluas 436,910.47 hektar setakat 25 Februari lepas, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, TRM yang strategik dan berpotensi terutamanya dari sudut ekonomi akan dibangunkan mengikut kesesuaian dan keperluan khususnya untuk masyarakat Melayu setempat.

Katanya, antara pendekatan dilakukan adalah dengan melaksanakan pembangunan Skim Tanah  Rakyat (STR) yang mana adalah satu bentuk pembangunan berkonsepkan Rancangan Tanah Kelompok (RTK).

Menurut beliau, TRM yang dibangunkan menerusi pendekatan ini adalah sama ada dijadikan lot kediaman atau diusahakan dengan aktiviti pertanian dengan objektif untuk meningkatkan lagi taraf sosioekonomi masyarakat Melayu.

“Melalui inisiatif ini juga kerajaan negeri dapat memanfaatkan strategi serampang dua mata yang mana sesebuah kawasan TRM bukan sahaja dibangunkan malah keluasan sedia ada turut dapat ditingkatkan.

“Sejumlah 7,814.37 hektar keluasan kawasan TRM telah dapat ditambah daripada jumlah keseluruhan kawasan TRM sedia ada menerusi pelaksanaan STR. Selain itu,TRM turut dibangunkan bagi projek perumahan untuk memudah cara pemilikan rumah dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini semasa menjawab soalan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) yang ingin tahu jumlah TRM terkini dan perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan berkenaan.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button