Berita Utama

Kesepakatan 3 kumpulan penting dalam arus perdanakan perundangan syariah

'Orang agama, pakar perundangan dan pentadbiran masjid mesti bersatu'

BANGI, 27 Syaaban 1443H, Rabu – Kerjasama di antara tokoh agama, pakar perundangan dan pentadbiran masjid penting dalam memperkasakan perundangan syariah di negara ini.

Malah, tanpa kerjasama erat tiga kumpulan terbabit agak sukar untuk melihat usaha mengarusperdanakan undang-undang syariah direalisasikan.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak & Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman berkata, perkara itu berdasarkan pengalaman beliau ketika menubuhkan Undang-Undang Keluarga Islam.

“Kesepakatan tiga kumpulan tersebut sangat membantu dalam mengarusperdanakan undang-undang syariah di negara kita.

“Saya dah buat kajian orang agama, perundangan dan pentadbiran masjid mesti bersatu, kalau tidak perkara ini tidak akan berjaya kerana masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza.

“Perkara itu terbukti ketika saya menjadi ahli majlis agama Islam yang bekerjasama dengan tiga kumpulan berkenaan bagi menubuhkan Undang-Undang Keluarga Islam di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam sesi forum bertajuk Peranan Agensi Kerajaan Dan Ilmuan Dalam Pemerkasaan Syariah di Konvensyen Perundangan Mengarusperdanakan Syariah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syeikh Ghazali berkata, pembentukan Undang-Undang Keluarga Islam dimulakan di Wilayah Persekutuan pada tahun 1984 dan diikuti Selangor serta 14 buah negeri lain.

Bagaimanapun, katanya, pada ketika itu perundangan belum lagi diseragamkan ke semua negeri-negeri seluruh negara.

Katanya, beliau diberi bertanggungjawab menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Keluarga Islam pada 1988, dan berjaya menyeragamkan undang-undang berkenaan di semua negeri.

Tidak dilupakan peranan penting dimainkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu khusus dalam hal urus tadbir meluluskan Undang-Undang Keluarga Islam, katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button