Berita Utama

TH diselia BNM tindakan bahaya, bawa implikasi ekonomi umat Islam

Rayu menteri agama pertahan institusi ini supaya kekal di bawahnya

BANGI, 6 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Tindakan kerajaan meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) dianggap tidak wajar dan berbahaya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh yang antara lain membabitkan cadangan dasar model baharu operasi TH dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Katanya, cadangan model baharu operasi TH itu akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, BNM dan TH.

Selain itu, katanya, Jemaah Menteri juga bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh BNM.

Biarpun cadangan itu nampak baik, tetapi jika dikaji secara teliti ianya membawa implikasi yang sangat besar kepada masa depan TH dan ekonomi umat Islam terutama orang Melayu, kata Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya.

Susulan persoalan yang timbul, beliau merayu kepada kerajaan untuk menolak cadangan ini jika benar-benar mementingkan nasib bangsa Melayu dan umat Islam.

“Kepada menteri agama, saya merayu agar mempertahankan institusi ini supaya kekal di bawah menteri agama, jika tidak saya bimbang sejarah akan melabelkan menteri agama sebagai seorang yang gagal mempertahankan institusi penting ekonomi umat Islam ini, suatu hari nanti.

“Saya memang menyokong langkah untuk melaksanakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Tabung Haji seperti mana yang diumumkan oleh kerajaan semalam, tetapi langkah meletakkan institusi ini di bawah Kementerian Kewangan adalah sesuatu yang tidak patut dan berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikut persoalan dibangkitkan PEMBELA berdasarkan kenyataan Kementerian Kewangan pada 15 Julai:

1. Apakah pindaan-pindaan yang akan dibuat terhadap Akta Tabung Haji 1995 itu?

2. Adakah pengurusan Tabung Haji tidak lagi mampu untuk mengurus tadbir Tabung Haji secara telus dan berintergriti? Jika benar, kenapa tidak diganti anggota Lembaga Pengarah yang sedia ada sahaja?

3. Bukankah Tabung Haji memang diaudit oleh Jabatan Audit Negara untuk memastikan perjalanan tabung berjalan dengan baik?

4. Apakah akan ada lagi pemberian hibah kepada pendeposit dengan kadar tinggi yang didapati sekarang ini atau apakah sekatan akan berlaku oleh Bank Negara kerana Tabung Haji akan tertakluk di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 seperti yang dinyatakan?

5. Tabung Haji ditubuhkan untuk umat Islam tetapi kita tahu bahawa di dalam Bank Negara Malaysia tidak semuanya orang Islam. Adakah akhirnya sebuah institusi Islam akan diurus tadbir oleh orang bukan Islam?

6. Bank Negara Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan; bagaimana jika suatu hari nanti naik pula Menteri Kewangan yang bukan beragama Islam seperti yang pernah berlaku sebelum ini?

7. Apakah selepas ini Tabung Haji masih bebas untuk membuat pelaburan di dalam sektor hartanah, pertanian, perumahan dan sebagainya demi memperkukuhkan ekonomi umat Islam atau apakah akan disekat oleh Bank Negara Malaysia kerana pelbagai regulasi bank?

8. Tabung Haji adalah milik orang Islam dan untuk menjaga kepentingan ekonomi umat Islam. Adakah dengan meletakkan bawah Bank Negara Malaysia, perkara ini akan terjamin?

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button