Dunia

Pertempuran maut tercetus di kem pelarian Syria

Konflik bersenjata bunuh 3 termasuk seorang kanak-kanak

DAMSYIK, 27 Syaaban 1443H, Rabu – Tiga termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dalam insiden pertempuran bersenjata yang tercetus antara YPG/PKK dan disyaki pengganas Daesh di kem pelarian di utara Syria, semalam.

Menurut sumber tempatan, YPG – cabang kumpulan pengganas Syria, PKK – menghantar beberapa anggota pada lewat malam dan cuba memasuki kem Al-Hol di wilayah Hasakah, sehingga membawa kepada konflik bersenjata dengan sekutu militan Daesh.

Pertempuran itu menyebabkan 10 yang lain cedera, selain banyak khemah di kem berkenaan mengalami kerosakan.

Walaupun pertempuran telah dihentikan, keadaan dilaporkan masih tegang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan antarabangsa lain sering memberi amaran bahawa situasi kemanusiaan di kem itu semakin teruk.

Menurut PBB, kem itu mempunyai kapasiti untuk 10,000 orang, namun jumlah yang berada di sana adalah lapan kali ganda di mana majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Apatah lagi, terdapat ribuan pengganas asing, Syria dan Iraq di kem itu.

Perang saudara Syria bermula pada Mac 2011, apabila rejim Bashar Al-Assad bertindak keras terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi.

Menurut anggaran PBB, ratusan ribu orang telah terbunuh sejak itu, dan jutaan yang lain kehilangan tempat tinggal.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button