Berita Utama

Perundangan Islam, syariah masih dilihat sebagai kelas kedua

Ada pihak berani hina Islam kerana kelompongan sistem perundangan negara

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

KUALA LUMPUR, 27 Syaaban 1443H, Rabu – Tindakan agresif pihak tertentu mendesak majlis agama negeri membatalkan keislaman remaja yang sudah memeluk Islam adalah satu keaiban yang menghina umat Islam.

Namun, tindakan itu bukanlah sesuatu perkara yang mengejutkan kerana golongan berkenaan dipercayai sabar dan konsisten dalam gerak kerja sehingga memperoleh hasilnya seperti dilihat pada hari ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya kesal apabila pihak yang menghina Islam ini seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan undang-undang, sedangkan perkara berkaitan agama Islam jelas termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan ia berlaku disebabkan kelompongan dalam sistem kehakiman dan perundangan negara.

“Jika dilihat dari segi perundangan, terdapat beberapa fasa dalam Perlembagaan Persekutan yang menjamin kemuliaan Islam dan Mahkamah Syariah seperti Perkara 3(1), Perkara 11(4) dan 11(5) serta Perkara 121 (1A).

“Malah, sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong untuk menjamin pemeliharaan Islam menjadi bukti tentang kemuliaan Islam di negara ini.

“Semua fakta ini seharusnya sudah cukup menjadi hujah yang kuat untuk meletakkan syariah sebagai landasan pembinaan negara,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Perundangan: Mengarusperdanakan Syariah anjuran PEMBELA, di sini hari ini.

Pun begitu, Aminuddin berkata, lazimnya perundangan Islam, institusi kehakiman Syariah dan Mahkamah Syariah masih dilihat sebagai kelas kedua atau ‘subservient’ serta tunduk kepada perundangan Sivil.

Justeru, beliau menggesa pihak kerajaan dan industri yang diamanahkan melihat segera kelompongan ini agar ia tidak lagi dijadikan helah pihak tertentu dalam menekan agama Islam.

“Saya yakin kita mempunyai kepakaran yang cukup dalam mengkaji dan mengemukakan cadangan yang bernas bagi meminda perundangan yang ada termasuk Perlembagaan Persekutuan.

“Mungkin laluannya agak sukar namun bak kata pepatah seribu langkah ke hadapan bermula dengan selangkah hari ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button