Berita UtamaDunia

Bank Dunia tangguh 4 projek untuk Afghanistan

Keputusan dibuat selepas Taliban larang pelajar perempuan bersekolah

KABUL, 28 Syaaban 1443H, Khamis – Bank Dunia menangguhkan empat projek di Afghanistan bernilai AS$600 juta, di tengah kebimbangan terhadap keputusan Taliban melarang pelajar perempuan di negara itu kembali meneruskan sesi persekolahan.

Kesemua empat projek berkenaan adalah termasuk inisiatif bagi meningkatkan pendidikan, kesihatan dan pertanian di Afghanistan – negara yang dilanda perang dan berdepan krisis kemanusiaan.

Projek itu dibiayai oleh Tabung Amanah Pembinaan Semula Afghanistan (ARTF), yang dibekukan tahun lalu selepas Taliban menguasai negara itu.

Pada awal bulan ini, Lembaga Eksekutif Bank Dunia meluluskan rancangan untuk menggunakan lebih daripada AS$1 bilion daripada dana itu untuk menyokong keperluan mendesak, termasuk dalam sektor pendidikan, pertanian dan kesihatan.

Di bawah rancangan itu, wang berkenaan tidak akan diserahkan kepada pihak berkuasa Taliban, sebaliknya akan diagihkan melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta kumpulan bantuan.

“Sebagai langkah pertama, penderma ARTF akan memutuskan empat projek bernilai kira-kira AS$600 juta untuk menyokong keperluan mendesak dalam sektor pendidikan, kesihatan dan pertanian serta sumber pencarian masyarakat.

“AS$600 juta ini akan ditambah dengan peruntukan tambahan daripada ARTF sepanjang 2022 mengikut syarat ditetapkan.

“Pendekatan berperingkat ini direka bentuk untuk menjadi fleksibel dan adaptif, menyedari bahawa keadaan di lapangan kekal lancar,” kata Bank Dunia dalam kenyataan pada 1 Mac lalu.

Bagaimanapun, projek itu terpaksa ditangguhkan selepas Taliban memutuskan melarang pelajar perempuan untuk kembali bersekolah.

Keputusan berkenaan mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa yang dilihat sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Jurucakap Bank Dunia berkata, semua empat projek itu sepatutnya dibentangkan kepada penderma ARTF untuk kelulusan selepas Bank Dunia dan pemegang taruh antarabangsa yakin dengan situasi serta matlamatnya.

Namun, keputusan terbaharu Taliban telah menyebabkan Bank Dunia mengambil langkah berkenaan memandangkan projek itu bermatlamat untuk memastikan golongan wanita mendapat manfaat daripada sokongan itu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button